Rentak Selangor | Pengaruh Muzik dan Budaya Jawa Di Kuala Selangor

Rentak Selangor | Pengaruh Muzik dan Budaya Jawa Di Kuala Selangor | Selangor bukanlah negeri yang terbesar di Malaysia tetapi menjadi negeri termaju di negara ini. Berkepadatan tinggi, penduduknya mempunyai taraf hidup yang lebih baik berbanding negeri lain malah direkodkan mempunyai kadar kemiskinan yang paling rendah di Malaysia.


Penduduk Selangor berbilang kaum. Selain Melayu, Cina dan India, kaum Bugis, Banjar, Minangkabau dan Jawa yang datang dari Indonesia sejak kurun ke-14 lagi turut sama mencorakkan dan memajukan negeri ini. Keturunan Jawa mendominasi sehingga 70 peratus penduduk Kuala Selangor (Kampung Sijangkang di daerah Kuala Langat antara kampung contoh yang didiami oleh orang Jawa). Dengan gelaran masyarakat serumpun, dahulunya rakyat Indonesia dan Tanah Melayu bebas bergerak tanpa sekatan imigresen seperti sekarang ini.

Seperti imigran dari negara lain, kedatangan warga seberang ini membawa bersama budayanya, makanan, cara hidup dan muzik yang sebati dalam kehidupan mereka. Walaupun orang Jawa berada di sekeliling kita, masih banyak perihal budaya adat resam mereka yang kita tidak tahu malah semakin dilupakan oleh generasi Jawa Malaysia itu sendiri. Jadi Unit Perancang Ekonomi Selangor melalui exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Budaya dan Keusahawanan bersama Gaya Travel Magazine dengan disokong oleh PUSAKA cuba untuk mengangkat seni budaya tradisional Jawa dalam program Rentak Selangor yang akan menambah nilai dalam sektor pelancongan Selangor.

Lama dahulu sebelum adanya segala gajet, salah satu cara untuk menyebarkan ilmu atau membuat sebarang hebahan ialah melalui persembahan muzik atau perlumbaan binatang. Tanpa siaran televisyen persembahan wayang kulit, muzik gamelan, kompang dan kuda kepang menjadi wadah untuk mengumpulkan penduduk kampung. Sekarang dah senang, boleh gunakan Whatapps atau kongsikan sahaja di Facebook atau bagi BP1M, ramailah manusia keluar beramai-ramai (betul ni... bagi BP1M sewaktu mesyuarat PIBG boleh penuh dewan dengan kehadiran ibu bapa).


Wayang Kulit (shadow Puppuet)
Wayang kulit dikatakan berasal dari Indonesia. Ia ialah bentuk karektor tertentu yang dilukis dan ditebuk di atas kulit lembu dan ditampal pada kayu nipis dan panjang.

Persembahan wayang kulit di asalnya dipengaruhi agama Hindu menceritakan kisah-kisah lagenda Mahabrata dan Ramayana tetapi di Malaysia Tok Dalang berkisah mengenai kehidupan masyarakat dan isu semasa yang kadang-kala lucu yang lebih bersesuaian dengan bangsa Melayu/Jawa dan agama Islam.

Siapa pula Tok Dalang?

Tok Dalang ialah lelaki yang menggerakkan wayang kulit di belakang skrin putih. Jadi kita penonton ni duduk menghadap skrin putih melihat bayang yang bergerak-gerak sambil mendengar cerita Tok Dalang dengan suara yang berubah-ubah mengikut karektor yang dilakonkannya sambil diiringi muzik gamelan. 
Kumpulan gamelan yang mengiringi persembahan wayang kulit.


Nota muzik yang dipermudahkan.

Wayang kulit yang halus buatannya ini diimport dari Indonesia.


Seni Budaya Warisan Gamelan & Wayang Kulit
Balai Seni Simpang 4
Kg Parit 11, Pasir Panjang
45400 Sekinchan
Selangor


Gamelan
Menurut cerita turun-temurun gamelan juga dikatakan berasal dari kepulauan Jawa. Ia biasanya dimainkan di majlis rasmi dan tidak rasmi, perkahwinan dan bersatu dalam persembahan wayang kulit.

Bunyian gamelan (juga dipanggil caklempung) kedengaran merdu apabila diketuk mengikut tempo. Alat muzik perkusi ini meliputi Bonang, Gender, Gong, Kendang, Kenong, Peking, Saron dan Slenthem. Kendang mengawal irama dan tempo lagu. Ia dimainkan oleh sembilan orang pemuzik.

Peralatan gamelan yang baik diperbuat daripada tembaga tetapi ada juga yang diperbuat daripada besi/zink seperti yang pernah ku lihat di sebuah kampung di Sabah dahulu. Ia lebih ringan dan harganya juga lebih murah. 


Kompang Jawa @ Kompang Tiga
Kompang Jawa berbeza dengan Kompang Ribu yang dimainkan sewaktu menyambut kedatangan pengantin di majlis resepsi perkahwinan. Kompang Ribu memerlukan ramai pemain manakala Kompang Jawa digerakkan oleh tiga set pemuzik untuk menghasilkan bunyian yang padu.

Wali Sembilan (Wali Songo) menggunakan kompang dan kuda kepang untuk menarik perhatian masyarakat sewaktu penyebaran agama Islam. Ia dibawa pula ke Selangor oleh pedagang Jawa pada 1900. Sehingga kini ia sering dimainkan di masjid dan madrasah dan upacara keagamaan seperti majlis khatam Al Quran, bersunat dan perkahwinan. Lagu yang dimainkan kumpulan Kompang Jawa berdasarkan Kitab Berzanji yang memuji Nabi Muhammad s.a.w. serta lagu-lagu seperti Assolatu, Bissari, Ya-Salatun dan Sailillah.

Kumpulan Kompang Kadaro, Pasir Panjang.

Kuda Kepang dan Barongan
Tarian Kuda Kepang ialah sejenis tarian pahlawan berkuda yang telah wujud sejak sebelum kedatangan Islam di Pulau Jawa. Wali Songo turut menggunakannya dengan menari ketika menunggang kuda dan sangat instrumental dalam penyebaran agama Islam . Ia sangat berkesan di waktu itu.

Kuda kepang asalnya diperbuat daripada anyaman rotan atau kepingan kayu yang dicat atau dibalut kulit binatang. Ada juga kumpulan yang membalutnya dengan kertas berwarna yang dicorakkan seperti kuda. Kumpulan tarian yang lengkap biasanya akan terdiri daripada 9 orang penari, 5 orang pemain muzik, 2 orang yang bertindak sebagai "Bomoh Pemulih" dan 9 - 15 orang penjaga kawasan. Penarinya juga memakai pakaian khas.

Sewaktu dipersembahkan kepada kami di Homestay Kampung Sungai Haji Dorani, hanya tiga alat muzik digunakan iaitu gong, dram dan gamelan. Menariknya ia juga dipersembahkan sekali dengan Barongan.

Keluaga Barongan 😂😂😂


Kuda Kepang yang sederhana.


Kisah malam itu...

Sebelum persembahan dimulakan, Danyang (bomoh pemulih) 'menurun' , memanggil roh/semangat. Kemudian peralatan tarian Kuda Kepang dan Barongan diasapkan dengan kemenyan. Seorang demi seorang penari akan menyapu asap ke muka dan kepala mereka.

Danyang mengetuk gendang memulakan persembahan. Para penari pun memegang 'kuda' masing lalu menari mengikut rentak irama yang dipalu. Untuk berubah ke step lain cemeti akan dilibas. Kiranya cemeti tu untuk memberi cue. Nak melibas cemeti ni pun kena belajar supaya tak terlibas diri sendiri.

Bermula dengan retak perlahan (lambatnya.... hahahha) ia semakin laju dan satu persatu penari dirasuk. Ada yang pergerakannya bertukar menyerupai menjadi monyet, ular dan harimau. Yang menjadi monyet tu siap boleh panjat pokok kelapa dan mengopek kulitnya menggunakan gigi sahaja. Dah tak sedar tu yang power rangers sangat tu. Mereka akan makan apa yang dihidangkan di dalam dulang. Yang ,menjadi monyet' akan makan pisang. Yang menjadi harimau akan bergerak seperti harimau. Danyang pun turut dirasuk, mungkin sebab itulah mereka memerlukan dua danyang dalam persembahan kuda kepang.

Untuk memulihkan penari yang dirasuk ini danyang akan membaca mentera. Penari tersebut tersedar, merasa letih dan haus. Sama juga seperti tiga rakan kami yang menjadi penari tambahan. Dua jam menari sambil memegang kuda kepang tanpa rasa lenguh tetapi apabila mentera dibacakan barulah tangan mereka terasa sangat lenguh dan letih. Entah berapa puluh kali mengelilingi gelanggang dengan step yang sama je mau tak letih. 

Persembahan berakhir apabila semua penari dipulihkan. Kena calit bedak lepas tu, kononnya untuk memulihkan semangat. Haa...begitulah.

Wak Rahman sedang mengasap kuda kepang.

Bahan-bahan untuk pemujaan terdiri daripada kelapa, sebiji telur ayam, jerami padi, pisang dan tujuh jenis bunga. Bunga raya pantang.


Cemeti dilibas sebagai tanda merubah gerakan tarian.


Dah tak sedar diri dah ni.



Persatuan Seni Budaya Warisan Kuda Kepang
Homestay Kampung Haji Dorani


Nota:
Pemujaan atau memohon kuasa atau bantuan selain daripada Allah swt adalah dilarang dalam agama Islam. Ia termasuk dalam tujuh dosa besar yang tidak diampunkan Allah melainkan dengan taubat nasuha.


Program Rentak Selangor ini diadakan hasil koloborasi Gaya Travel Magazine dan Selangor Youth Generation Development, Sports, Cultural and Entrepreneurship Development (UPEN)

Inline images 1

1 comments so far

baru tau yang ada macam-macam jenis kompang sebenarnya.

Google+ Followers

Followers

Ping Blog

Blogged.my

Blogged.my

blogr.my

Auto Ping

Ping your blog, website, or RSS feed for Free