Showing posts with label indonesia. Show all posts
Showing posts with label indonesia. Show all posts

Indonesia | Wisata hits baru, Batu Flower Garden di Bukit Bulu

Wisata hits baru, Batu Flower Garden di Bukit Bulu | Sewaktu kami ke Surabaya September lalu, Wisata Coban Rais yang menempatkan Batu Flower Garden baru lapan bulan dibuka. Kawasan ini masih belum 100 peratus siap tetapi sudah menerima ribuan pengunjung.

Apa yang ada di sini? Tempat berfoto yang unik sama seperti yang ada di Yogyakarta dan daerah lain. Ini trend kan zaman now. Bilamana kita masih lagi dengan 3D Art museum pengusaha pelancongan Indonesia semakin serius mencipta produk baru yang dekat dengan alam dan lebih menarik dan agak adventurous sesetengahnya.

Wisata Coban Rais dibuka dari jam sembilan (kalau tak silap) sehingga jam tiga petang tetapi jika terlalu crowded hanya dibenarkan masuk hingga jam dua. Kena spend at least two hours di sini. Kalau datang lewat sangat seperti kami hari tu tak dapat try semua.


Di manakah Wisata Coban Rais?
Wisata Coban Rais hanya lapan batu dari Kota Batu. Jika kita stay di Batu lebih mudah sewa kenderaan bersama pak supirnya, naik motor pun senang. Coban Rais adalah air terjun yang dulunya dikenali sebagai Coban Sebrangan. Nak ke air terjun ini kena menyeberangi sungai dahulu. Air terjun ini sudah lama wujud cuma ianya semakin dikenali apabila Bukit Bulu terkenal sebagai spot selfie anak muda.

Bukit Bulu pula terletak sebelum Coban Rais dengan ketinggian 1000 mdpl. Pemandangan di sini sangat indah dengan litupan hutan tebal yang menyejukkan mata memandang. Hijau jer... Tiket masuk 10 ribu rupiah, parking 5 ribu rupiah. Ini baru tiket masuk ke kawasan tu.

Oleh kerana sudah agak lewat kami abaikan air terjun Coban Rais tetapi terus ke Batu Flower Garden dengan menaiki ojek. Bayar lagi 10k rupiah seorang. Elok berjalan kaki je... walaupun 800 meter ke BFG tetapi kalau berjalan sambil membawang berdiskusi mencari idea bagaimana untuk menyumbang tenaga ke arah Malaysia Baru takkan terasa jauh pun. Lagipun bukannya panas berdenting.




Yang ni best!

Batu Flower Garden ini tinggi dan dihias dengan bungaan segar sebagai satu kelainan. Owh.. sebelum masuk kena bayar 25k rupiah seorang which includes photographer di dua selfies spot. Mereka akan ambil lima keping gambar di setiap spot. Nak guna kamera sendiri pun boleh tapi kena bayar 15k rupiah ketika masuk ke sini (drone 75k rupiah). Oleh kerana jurugambar ni dah bersiap sedia di angle terbaik, kalau guna kamera kita sendiri dapatlah ambil dari sisi tepi je. Memang cantiklah dalam gambar... dengan bunga berwarna-warni dan berlatar belakangkan gunung. Cuma aku rasa simen platform tu sepatutnya lebih kasar supaya rasa lebih selamat untuk turun.

Selepas itu kami bergerak ke Gowes Air atau basikal udara. Berdua saja yang naik basikal ni sebab yang lagi dua orang tak sanggup. Sebelum naik basikal harnest akan dipakaikan di badan dan bila kita dah bersedia ada staf yang akan menarik tali supaya basikal bergerak ke depan. Aku ingatkan boleh kayuh sampai ke hujung rupa rupanya tidak... sekerat jalan je semata-mata untuk pose. Sekejap benar!

Berani tak?

Hammock bertingkat, spider hammock, paragliding, buaian kami tak sempat naik. 

Spot Hammock Batu flower Garden, Ngeri guys
http://wisatabaru.com/bukit-bulu-dan-batu-flower-garden-wisata-baru-malang-wajib-dikunjungi/



Selesai semua kami pun berjalan ke kaunter untuk memilih gambar. Kalau tak silap lima gambar free tapi kalau nak lebih bayar je 5 ribu rupiah sekeping dan mereka akan simpan dalam handphone kita. Pandai mereka berniaga, banyak gambar-gambar yang cantik mereka rakamkan. Tak beli karang menyesal pula bila dah sampai Malaysia.

Bahagian kanak-kanak tak kurang menariknya.

Bunga pine dan alpukat (avocado).

Special request ni.

Di situlah berakhirnya lawatan kami yang agak memenatkan jugalah sebab banyak berjalan dan memanjat bukit sehari suntuk. Berjalan dengan aku memang gitulah, pergi merata. Teringin juga nak ke sana lagi bila siap sepenuhnya.

Harga tiket masuk ke Batu Flower Garden.

Batu Flower Garden
Oro-Oro Ombo, Kehutanan
Kecamatan Batu
Kota Batu
Jawa Timur 65151, Indonesia

Gunung Banyak, Indonesia | Merangkak di Omah Kayu hahahha.... dan selfie di Taman Langit

Gunung Banyak, Indonesia | Merangkak di Omah Kayu hahahha.... dan selfie di Taman Langit  | Tanpa ke Gunung Bromo lawatan ke Surabaya dianggap tidak lengkap. Bila dah sampai Gunung Bromo sebaiknya sambunglah pula ke Batu kerana lokasi tarikan pelancongan lebih banyak di sana. Suhu sejuk pula tu.


Kota Batu yang digelar De Kleine Zwitserland atau Swiss Kecil di Pulau Jawa ialah sebuah bandar di timur Jawa. Rasanya lokasi paling popular di kalangan rakyat Malaysia ialah ladang epal dan Jatim Park. Yelah kan, kita mana ada tanam epal, panaih lit lit. Suhu di sini diantara 12-19C dengan ketinggian atas 700-1700 dari aras laut. Rasa sejuk nyaman itulah menjadikannya tempat beristirehat penjajah Belanda suatu ketika dahulu selain dikelilingi gunung-ganang seperti Gunung Arjono dan Welirang.

Tagline "Wonderful Indonesia" digunakan sepnuhnya dalam mempromosi negara besar ini. Di Batu, selain Jatim Park rasanya produk pelancongan lebih kepada yang berkaitan dengan alam, yang kurang memusnahkan hutan. Konsep yang bagus dalam mengekalkan keberadaan alam sekitar. Di sini elok kita habiskan masa dua tiga hari untuk menikmati sepuasnya suhu sejuk dan makanan enak yang berbeza dari daerah lain.


Gunung Banyak- lokasi wisata terbaru di Kota Batu
Banyak tarikan pelancongan baru dibina dan ada yang sedang popular di Indonesia. Produk yang instagramable pastilah lebih menjadi pilihan anak muda. Begitu juga Kota Batu, selain Jatim Park dan ladang epal yang sememangnya popular kini Gunung Banyak 'dinaikseri' sebagai lokasi paragliding, Omah Kayu- rumah di atas pokok, hammock gergasi dan tempat berfoto di Taman Langit.


Paragliding di Gunung Banyak
Orang Indonesia panggil paragliding, paralayang. Jadi Gunung Banyak ini lebih dikenali sebagai wisata paralayang. Cantik terbang dari sini sebab ada kampung di bawah sana. Aku ke sini sebelum menghadiri Kursus Asas Paragliding yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Kuala Langat jadi aku agak cuak jugalah nak tandem fly. Rugiiii.... 350k rupiah je.

Paragliding di Gunung Banyak

Jalan naik ke taman wisata ini agak sempit. Sesetengahnya tidak berturap dan kurang tanda jalan. Kami melalui rumah kampung untuk sampai ke puncak yang semakin sejuk dan nyaman udaranya. Rasanya sewa parking 15k rupiah. Bagusnya bayar sekali masuk, kalau ikut jam jenuh.


Omah Kayu bukan untuk si penakut 😛
Sebelum masuk ke kawasan Omah Kayu kena bayar entrance fee IDR5,000 seorang. Jika anda tidak mampu berjalan sendiri tempat ini tidak sesuai untuk anda sebab bertangga. Kawasan ini redup je sebab dilindungi pokok-pokok besar yang masih dikekalkan untuk menepati konsep taman tersebut.

Terdapat tujuh buat rumah kayu di atas pokok menghadap kawasan perkampungan yang boleh kita explore. Boleh nampak Kota Batu/Malang dari sini. Tinggi, di tebing gunung. Nak sewa pun boleh tetapi lebih sesuai kepada orang yang adventurous. Rumah kecil dilengkapi dengan tilam, selimut, bantal dan mini bar. Aku tak naklah kot... memalam karang sunyi sepi alahai... macam susah je nak isi perut.

Kebanyakan yang ke sini di waktu itu adalah golongan muda. Ada yang nampak macam student U, couples. Amboi kau dik... Kami pun bergasaklah buat photo shoot selfie bagai kat sini. Bila tengok video rupanya ada seorang kawan kami merangkak nak turun dari pelantar hahahhaha.... keras perut gelakkan dia 😂😂😂

 



Tak jauh dari situ ada giant hammock. Ini pun kalau berani cubalah. Takde safety harnest ye... best pulak 'terapung' atas net tu. Yang susahnya bila nak ambil gambar wohooo.... bergoyang-goyang! Takut handphone/kamera terlepas ke bawah.




Taman Langit
Dinamakan Taman Langit kerana ia berada di atas gunung. Menggunakan konsep yang sama seperti Batu Flower Garden tetapi sudah tentulah objeknya berbeza. Eh, belum buat lagi blogpost fasal Bukit Bulu dan Batu Flower Garden ni. Hmmm...banyaknya yang tak dibuat lagi.

Pada aku spot yang paling menarik di sini ialah patung yang dibuat menggunakan akar dan ranting kayu. Serius kreatif!


Tong sampah pun cantik.

Mak mak yang over 😁😁

Di Taman Langit ini pun ada lodgig juga dan ia nampak lebih moden.

Menetas je terus besar gini 😁😜




Wisata Gunung Banyak (Parahlayang)
Jalan Raya Indragiri
Sumberejo, Kec. Batu
Kota Batu, Jawa Timur 65318
Indonesia

Indonesia | Pengalaman pertama ke ladang epal di Batu

Pengalaman pertama ke ladang epal di Batu | Salah satu lokasi yang termasuk dalam itinenary kami dalam trip Surabaya-Bromo-Malang/Batu ialah lawatan ke ladang epal. Nak pergi yang di Australia tu jauh, nilai RM pula lebih rendah berbanding Australian Dollar... belum mampu lagi dik.


Objek wisata (tarikan pelancongan) Jawa Timur banyak terdapat di Batu berbanding Malang. Suhu di Batu dingin, sesuai untuk pertanian tanah tinggi dan selesa untuk ke mana-mana. Selepas Gunung Bromo, tempat-tempat lain yang kami bercadang nak pergi hanyalah sekadar untuk bersantai. Takde dah beriya mengheret kaki memanjat tangga.

Menurut supir kami, terdapat dua ladang epal yang dibuka kepada umum. Kami memilih Wisata Petik Epal Batu yang diusahakan oleh persatuan penduduk, macam koperasilah kot. Ladang ini luas tetapi (kalau tak silap dengar) hanya satu ekar dibuka kepada pelancong. Tiket masuk sebanyak 30,000 rupiah seorang dikenakan. Lebih kurang RM10 lah. Exited makcik masuk ke ladang epal nakkk...😁😁

Sebelum masuk ada staf yang akan memberikan penerangan ringkas mengenai ladang epal tersebut, jenis epal yang ditanam dan sebagainya. Selepas lima bulan epal sudah boleh dipetik, tak kiralah apa pun saiznya kerana sudah matang. Buah epal ini boleh tahan selama 30 hari tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk. Di Batu 30 harilah kot, di Malaysia yang panaih lit lit ni mungkin dalam 25 hari je. Tak payah risau sangatlah seminggu je dah habis dimakan.

Setiap orang akan diberikan satu beg plastik. Kalau tak cukup minta je lagi. Nak minta tolong petikkan pun boleh tapi petik sendirilah best, kat KL bukannya ada pokok epal ni. Paling penting, sedarlah wahai kengkawan, berapa kilo luggage hang beli? haaa.. jangan lupa tu.

Guide yang pandai ambil gambar. Setiap hari dilakukan bu...- katanya merendah diri.

Empat jenis epal di tanam di sini dengan ciri-ciri seperti berikut:

Epal Manalagi
- Berbentuk bulat
- Warna hijau kekuningan
- Rasa Manis
- Membantu sistem pencernaan
- Anti oksidan

Epal Anna
- Berbentuk lonjong
- Warna mera kekuningan
- Rasa asam manis
- Isi buah lembut
- Sesuai untuk diet

Epal Green Smith
- Berbentuk lonjong
- Berwarna hijau
- Rasa masam
- Berpori-pori besar
- Mengubati stroke

Epal Rome Beauty
- Berbentuk bulat
- Berwarna hijau kemerahan
- Rasa masam
- Menurunkan kolesterol
- Sebagai masker wajah

Kawan aku si Ani pantas betul mengingat nama dan bentuk epal-epal di sini. Patutlah dia jadi misi, kuat mengingat. Kalau aku yang jadi misi dah tersalah bagi ubat agaknya 😁

Menurut staf tersebut pokok epal di sini tidak menggunakan baja dan racun kimia. Tu yang boleh petik dan terus makan. Makanlah sepuasnya secara percuma. Eh, percuma ke? Dah bayar upfront tadi kan 30k rupiah? Tak kisahlah, makan selagi larat. Aku boleh makan 2 biji epal Manalagi je... yang lagi tiga jenis tu tak manis, ai tak suka. Sebu perut makan buah.. kalau nak diet bagus ni sebab berserat dan banyak air. Jika kita mahu membawa pulang, epal akan ditimbang dan dimasukkan ke dalam kotak. Tak ingat dah berapa harga sekilo. Yang best tu kita petik sendiri.

Mungkin warna epal di sini kurang menarik tetapi yang hijau tu lah manis. Sedap oih kruk krak kruk krak. Seronoknya makan fresh apple, rangup!

Bunga epal.

Banyaknya epal! Rendah je pokoknya tapi berbuah lebat.





Sebelum beredar haruslah membeli bermacam kerepek di sini. Ini produk khas Batu bermakna jika kita membelinya di Surabaya pun asalnya dari sini. Harga sepeket 15 ribu rupiah. Tak tahulah mahal ke murah tapi semua jenislah aku beli... beli 10 percuma satu. Dodol epal yang dipek kekecik pun ada. Design t-shirt yang dijual di sini tiada di tempat lain. Beli terus jika berkenan supaya tak teringat-ingat. Ai dah bagi tau sesiap ni.

Pelbagai kerepek yang dijual - epal manis/masam, salak, nangka, duirian, tempe dan sebagainya.

Sambil membeli tu sempatlah juga berbual dengan salah seorang pekerja di ladang tersebut. Menurutnya dia pernah bekerja di Johor. Lama jugalah di sana. Agaknya dah banyak kumpul duit dia pun baliklah ke negara asal. Selama mana nak berhijrah ye tak? Rindu oih kat kampung halaman.

Best kan ladang epal ni? Mestilah best.

Jika anda ke Surabaya berdoalah agar epal sedang masak ranum di sana 😊

Indonesia | Uniknya Kampung Warna Warni Jodipan!

Uniknya Kampung Warna Warni Jodipan! | Sejak keseluruhan sebuah kampung di Juzcar, Spain, dicat biru sempena penggambaran filem Smurf, ia telah berjaya menarik kedatanagn pelancong dari seluruh dunia. Dari kampung yang sunyi sejauh 113km dari Malaga, kini ia merupakan kampung yang paling terkenal di Spain (Sepanyol) dan secara tidak lansung telah meningkatkan ekonomi penduduk melalui sektor pelancongan.


Juzcar itu terlalu jauh dan memerlukan modal yang besar untuk ke sana. Sebagai alternatif Malang di Indonesia juga memiliki kampung yang seakan sama dan mungkin boleh dikatakan lebih menarik kerana berwarna-warni dari dinding luar hingga ke bumbung rumah. Sedondon warnanya.

Terletak dua jam perjalanan dari Surabaya, Kampung Warna Warni Jodipan yang berada di Jalan Juanda berkedudukan lebih rendah dari jalan raya. Inilah yang menarik kerana dari Jambatan Jalan Gatot Subroto kita boleh melihat keseluruhan kawasan yang kini dihubungkan dengan Kampung Tridi (3D) melalui jambatan kaca merentasi Sungai Brantas. Jambatan sepanjang 21 meter berinspirasikan jambatan Zhangjiajie di China ini dibuka seminggu selepas kepulangan kami ke Malaysia. Tak merasa... 😔 

Nampak tak landasan keretapi di atas jambatan di sana tu?

Bagaimana projek ini bermula?

Kampung yang dahulunya buruk dan dipandang sepi, dijadikan projek praktikal lapan orang mahasiswa Universitas Muhammadiyah Malang yang menggelarkan diri mereka GuysPro, bagi subjek Public Relations II dalam jurusan Komunikasi.

Tujuan utamanya ialah supaya penduduk mementingkan kebersihan dengan tidak lagi membuang sampah ke sungai. Satu idea yang menarik dan mudah kan? Tanpa disangka projek ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk malah disokong oleh pelbagai pihak termasuk pengeluar cat Decofresh, para pelukis tempatan dan Pemerintah Kota Malang. Ia juga menjadikan kampung bertema sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Di Malang, selain kampung warna-warni ini ada juga kampung batik dan kampung topeng.

Setelah siap dicat bahagian luaran rumah, penduduk berasa teruja dan sebelum Eidul Fitri tiba mereka mengecat pula ruangan dalam rumah dengan biaya sendiri. Aura positif akan menarik yang positif juga, betul tak? Lukisan tambahan di luar rumah sebahagiannya dilukis oleh anak-anak penduduk yang berbakat, yang selama ini terpendam dan tidak dicungkil keluar. Bakat semulajadi mereka yang sekian lama tersimpan tidak diserlahkan melalui tangan yang berseni. Nampak tak kesan baik yang sambung-menyambung from this humble project? Someone has to start somewhere to get something. 

Hasilnya ia berjaya menarik kedatangan pengunjung dalam dan luar negara untuk melihat sendiri dan bergambar di sini. Ada rumah yang menyediakan spot selfie secara percuma. Suka hati hanglah nak bergambar gaya apa pun di luar rumah mereka.

Kami masuk dari pintu 1 dan keluar di pintu 2. Ada deretan penjual barangan terpakai di sana.

Dari pintu masuk kita kena turun ke bawah menggunakan tangga berwarna-warni ini. Menarik juga kampung ni, macam di Brazil pun ya juga. Saiz rumah comel je.


Lokasi swafoto yang disediakan di luar rumah.



Bagusnya ada satu perpustakaan terbuka untuk kegunaan kanak-kanak di sana. Buku-buku dimasukkan ke dalam peti surat bercorak menarik dengan cat dinding yang menarik juga. Jika pelanggannya kanak-kanak hiasan mestilah terang dengan pelbagai warna barulah ceria.  

Mama? 😂😂😂


Penduduk yang ramah. Sempat kami berbual sementara menunggu keretapi lalu. Di belakang sana ada kedai menjual ais krim dengan pelbagai perisa buah-buahan. Sedap baq hang!


Teruja tengok keretapi lalu lebih tinggi dari kampung. Dalam pada aku dok hala kamera ke pelbagai arah, ada bebudak berkumpul di tebing sungai bawah jambatan ni sambil seorang kawan dia berak hahahh... boleh pula mengadap orang berak sambil berbual aiyooo.... kalau aku mau seminggu tak lalu makan hahaha... 


Gambar pemimpin Indonesia dari yang lama sehingga ke Bapak Jokowi.

Di kampung ini juga ada penduduk yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan seperti membuat kasut dan selipar, menjual ais krim serta makanan. Di lingkungan luarnya ada pasar barangan terpakai dan penjual kasut sukan. Kebetulan anak aku yang masuk team Under9 tu dok komplen but bola dah sempit - sakit kaki kite ma.. - teruslah aku beli. Nak beli gitar kecil juga untuk adiknya tapi si penjual tu buka harga IDR145 ribu rupiah. Mahal giler! Malas aku nak tawar-menawar lagi. Bila tanya kat kedai tepi simpang jalan besar, dia jual 60 ribu rupiah je gitar tu... harga sebelum diskaun. Aku tak tanya dah harga kasut, kang nak marah pulak hahah... dah dah, jom naik van!



Untuk masuk ke kampung ini kita boleh menggunakan mana mana satu daripada tiga pintu dan dikenakan tiket 2,000 rupiah seorang. Kampung Tridi (3D, asalnya Kampung Kesatrian) pula mengenakan tiket 5,000 rupiah untuk kita melihat dan berfoto di dinding berhias lukisan tiga dimensi.

Semenjak perasmiannya pada September 2016, perubahan Kampung Warna Warni Jodipan telah berjaya membuatkan penduduknya merasa sayang dan lebih menghargai penempatan mereka. Persekitaran kampung menjadi bersih, rumah dihias indah. Pendidikan dan usaha berterusan perlu dilakukan untuk mencantikkan lagi sungai Brantas. Manalah tahu ia boleh menjadi seperti Sungai Melaka yang bersih dan maju dengan bisnes Melaka River Cruise, kan?

Google+ Followers

Followers

Ping Blog

Blogged.my

Blogged.my

blogr.my

Auto Ping

Ping your blog, website, or RSS feed for Free