Kali Pertama Korban Eidul Adha | Alhamdulillah, setelah berpuluh tahun hidup inilah kali pertama aku menyertai program korban di kampung. Walau niatnya telah lama dibuat, tahun ni rasa mudah je keluar duit. Mungkin rasa dah tua kot sedangkan bekalan akhirat tak seberapa.
Allah SWT memerintahkan ibadah korban seperti mana firmanNya dalam surah al-Kauthar: 2 yang bermaksud:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”.
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu”. (Surah al-Hajj: 37)
Semuanya bermula dengan mesej daripada sepupu, dia kata ada dua bahagian lagi kosong jadi aku pun terus kata "ok". Beberapa tahun dahulu keluarga suami ada juga buat korban sesama adik-beradik dan saudara dia tapi sejak mak pak mentua kurang sihat tak buat lagilah. Seronok tengok masa tu ramai bergotong-royong. Nak mengurus sisa tu berat jugalah kalau tak ramai yang menolong.
Di taman perumahan aku ramai je yang buat korban lembu malah tahun ni bila dicampur dengan sumbangan Yang Berkhidmat kawasan, 34 ekor lembu ditumbangkan (20 di masjid 14 di surau). Mewah betul tapi aku lebih suka melakukannya di kampung sebab daging lembu mahal rm36 sekilogram dan aku rasa mungkin ramai yang tak mampu membeli jadi aku fikir kalau buat di kampung lebih mencapai matlamat yang aku inginkan (tak dinafikan di bandar juga ramai yang susah).
Umur Haiwan yang Hendak Disembelih
Aku ambil tahu jugalah serba sedikit tentang ibadah korban. Ada syarat umur bagi haiwan yang hendak disembelih seperti berikut:
Unta : Umurnya tidak kurang daripada 5 tahun dan sudah memasuki tahun ke 6.
Lembu atau Kerbau : 2 tahun yang sudah memasuki tahun ke 3.
Biri-biri : 1 tahun yang sudah memasuki tahun ke 2.
Kambing : 2 tahun yang sudah memasuki 3 tahun.
Perhatian:
Tidak sah berkorban dengan haiwan yang tidak memenuhi syarat walaupun dagingnya banyak dan berat timbangannya, contohnya haiwan yang diberi makanan dan ubatan nak bagi cepat besar/gemuk tak mengikut umur kerana tujuan ibadah korban adalah sebagai syiar dan ketentuan syiar ini adalah berdasarkan umur tertentu bagi haiwan korban.
Dalam mazhab Hanbali dan Hanafi adalah dibolehkan korban dengan biri-biri yang telah mencapai umur 6 bulan dan telah memasuki bulan ke 7.
Dalam mazhab Maliki pula adalah dibolehkan korban dengan kambing jika telah mencapai umur setahun.
Lembu Ku Selamat Disembelih
Tukang sembelih pun ada syaratnya. Orang yang paling berhak untuk menyembelih ialah lelaki Islam
yang berakal, kemudian wanita Islam yang berakal, kemudian kanak-kanak Islam yang berakal, kemudian Ahli Kitab, kemudian orang gila dan mabuk. Itu turutannya. Macam nak nikahlah ada turutan walinya.
Ikut jadual proses sembelihan jam 12.30 tengahari jadi kami santai-santai je dulu kat rumah mak selepas balik dari menziarahi kubur abah dan uwan. Pukul 12 sepupu called suruh datang, dia bagitau semua dah ready cuma tunggu tukang sembelih je. Tunggu orang tu tunggu budak ni bila sampai lembu dah pun disembelih tapi belum 12.30 pun masa tu. Hmm...takde rezeki nak tengok 😞
Nak sembelih binatang korban kena ada niat. Pisau kena tajam dan tidak diangkat sehingga selesai penyembelihan iaitu putus halqum (saluran pernafasan), putus urat mari’iaitu saluran pemakanan dan Al-Tazfif iaitu memutuskan (kesemua urat-urat) dengan
segera.
Aku pernah tengok video tukang sembelih di Indonesia mengajar cara sembelih. Sangat pantas cara dia supaya binatang tak tersiksa. Memang logik pun sebab kalau kita terhiris jari sewaktu menyiang ayam ikan pun selepas beberapa saat baru terasa sakit. Cuba kau hiris perlahan-lahan, mesti meraung. Aku sampaikan kepada seseorang tapi dia tak setuju kononnya menyembelih ni proses menghantar roh kepada Tuahn. Apo bondo lahai... meh den hiris tangan kau perlahan-lahan bagi rasa sakit ke tak.
Sambung...
Putus je nyawa lembu tu orang kampung bersama tiga warga Bangladesh yang mencari rezeki di sini bersama-sama melapah. Pantas eh mereka buat keje. Isi lembu bersama tulang-temulangnya di masukkan ke dalam tujuh besen untuk tujuh peserta korban. Kemudian kami masukkan dalam plastik sebelum diagih-agihkan. Sepupu aku cadangkan masukkan setengah kilo je tapi aku rasa macam sikit sangat jadi aku bungkus sekilo sekilo tapi bila balik rumah aku rasa tak cukup pula jadi aku rearrange jadikan 16 bungkus. Oh ya, kepada yang tak tahu, peserta korban boleh mengambil 1/3 daripada bahagian korban mereka. Cukuplah, makan daging merah banyak kang takut kena gout pula.
Dah pakai baju warna cerah siap bermanik kat lengan maleh aku nak pegang daging. 'Investment' kita (anak bujang) menyerah diri tolong bungkuskan.
Mengagihkan Daging Korban
Aku sendiri pergi hantar daging korban tu ke beberapa rumah. Saja aku nak hantar sendiri sebab nak pergi rumah-rumah yang dah lebih 20 tahun tak jejak. Nak jumpa sekejap tuan rumah yang pernah singgah dalam hidup sewaktu remaja. Kalau boleh nak bersembang lama sikit tapi karang bising pula anak aku yang jadi peneman, dahlah dia selalu perli mak dia tak reti balik kalau jumpa sepupu 😄. Karang ditinggalnya aku jenuh jalan kaki.
Terasa gembira dan sebak walau dapat jumpa sekejap je. Rindu rumah dan ramah tamah mereka. Ada makcik yang masih ingat aku.
Aku : Kona tak sapo ni?
Acik : Ohh Maria...lamo tak jumpo!
Alhamdulillah... dia ingat lagi. Kehidupan makcik tu sampai sekarang tak nampak perubahan ketara. Dia tinggal dengan seorang anak lelaki bujang yang baik. Si A setia menemankan emaknya dengan bekerja kampung. Masa aku sekolah dulu si A tak sekolah dah (mungkin sebab keluarga dia susah), sekarang aku ada anak-anak bujang dia masih bujang.
Ada satu lagi rumah tu aku dah pergi awalnya tapi dia takde. Petang aku pergi lagi sekali sebab memang nak sangat bagi dia daging sebab keluarga hadap banyak dugaan. Aku asingkan dua bungkus tapi anak aku dah bagi kawan dia pula sebungkus.
Apa entah anak dia cakap lepas tu dia balas, alhamdulillan nak, ada orang bagi. Sedih. Sesungguhnya ujian hidup kita tak sama.
Ada satu rumah yang tak jauh dari rumah asal arwah uwan, yang sambut salam anak bujang dia. Wuii hensem betholll budak tu, muka dan kulit putih ikut mak dia. Walaupun tak pernah berjumpa tapi iras muka sangat jelas. Elok aku nak berpatah balik si emak keluar.
Si emak : Sapo deh ni?
Aku : Maria
Si emak : ooo kau Maria... lamo tak jumpo. Tak cam tadi sebab sekarang dah gomok.
hahahahhaha....
Si emak tetap cantik macam dulu dengan badan yang tak banyak berubah. Jeles kiter.
Tetiba ada yang melaung, dulu cantik!
hahahahhahaha...harey tol, bukan laki dia tidur kat kerusi malas ke tadi? 😂😂 Hang sabajap, aku tengah usaha nak cantik balik ni bang.
Semoga ibadah korban kali pertama ini jadi permulaan yang baik untuk aku dan terus dapat berbuat yang sama di tahun mendatang. Mudah-mudahan Allah terima pengorbanan kecil ini. Amin.
Selamat hari raya Eidul Adha dari kami sekeluarga.
Kali ni dapat raya bersama-sama. Semua dah besar, dulu masa kecik penuh rumah macam anak kucing hahahaha...
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.