Johor | Jalan-Jalan Ke Zoo Johor | Assalamualaikum and hello....
Lebih sebulan aku tak menulis bukan disebabkan takde idea tapi takde mood sejak "last day" hari tu. Rezeki aku sempat 'tanam anggur' dua minggu je lepas tu kerja balik. Alhamdulillah dapat jawatan dan gaji lebih baik.... aku sangat bersyukur dan aku doakan Allah balas kebaikan atas doa-doa baik yang semua orang berikan tapi lepas dua minggu aku tender resignation hahahahah... sekarang bertukar status penganggur semua 😁
Kenapa?
Sebenarnya sebelum pergi temuduga kerja aku dah baca google review syarikat tu tapi kononnya I'll take the challenge. Konon kental tapi tak sangka begitu teruk sekali negative vibe bosnya, suka memaki tak kira staf atau bini sendiri. Aje giler... bekas-bekas bos aku manager Melayu Cina director India pun tak pernah begitu sejak mula kerja. Another level betul yang terkini ni. Tiada hari tanpa marah marah macam kena sengat tebuan hari-hari.
Nantilah cerita, aku dah draf lebih daripada 2000 patah perkataan hahahhha... tapi tunggu cool down baru pos. Kita cerita yang best dulu.
Hai anak-anak...!
Zoo Johor Zoo Tertua Di Malaysia
Hujung tahun lepas anak suruh datang malam ambil dia sebab dah habis semester. Aku rasa baru je hantar dah nak balik. Belum recover lagi semua kos hotel makan minum jalan-jalan dulu hahaahha…Aku tak nak pergi sana semata-mata jemput dia je, perjalanan pun dah tiga setengah jam. You know me lah kan... maka aku merangka itinerary sepanjang siang tu.
Aku cakap kat husband, kita pergi zoo.
Buat apa pergi zoo bukan ada budak kecik.
Ikut je..! (kita guna kuasa veto hahahahah..)
Teringat kisah masa bujang dulu kami dating kat Zoo Negara. Selain nak melihat keadaan terkini selepas berbelas tahun tak pergi aku rasa Zoo Negara agak selamat daripada terserempak dengan saudara-mara aku. Some of them macam CNN weh. Aku pernah kena dengan seseorang, kami berdua lalu bawah Dayabumi untuk ke Pasar Seni sebab bas/teksi turunkan di jalan sebelah sana tapi cerita boleh tersebar mengatakan aku lepak dengan pakwe di Dayabumi. Ishh geram aku! Malang tak berbau… boleh pula terserempak dengan bakal abang ipar dan biras yang bawa anak sulung mereka. Kantoi. Kitonyo konon nak berahsia.
Bila dah berkeluarga dua kali aku terpaksa menapak di keseluruhan kawasan sewaktu sarat mengandung sebab tram takde, sekali di Zoo Lok Kawi dan terakhir di Zoo Melaka. Gigih betul acik melayan kerenah anak-anak. Masa di Zoo Lok Kawi kandungan dekat tujuh bulan dah. Masa memboyot pun boleh berjalan toksahlah heran kuatnya berjalan kalau sekadar bawa lemak di badan.
Sampai Johor Bahru pun dah tengahari jadi kami solat Zohor dulu di Masjid Sultan Abu Bakar. Cantik eh masjid lama ni. Lama jugalah di sini ke depan ke belakang ambil gambar.
Zoo Johor yang pernah dikenali sebagai Kebun Binatang atau Taman Haiwan atau Zoo Diraja Johor pada asalnya dibangunkan sebagai zoo persendirian yang mengumpulkan koleksi peribadi milik Tengku Mahkota Johor pada ketika itu, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (1894-1981) dan diuruskan sendiri oleh baginda dengan dibantu oleh beberapa orang pekerja. Koleksi haiwan yang terdapat di sini kebanyakannya dihadiahkan kepada baginda oleh pihak pengurusan zoo di luar negara. Antara spesis yang dihadiahkan termasuklah kanggaru dan Joyinah Hitam yang dibawa masuk dari Zoo Perth, Australia, spesis beruang yang dibawa masuk dari Zoo Washington, Amerika Syarikat dan burung Makaw dari Afrika Selatan.
Zoo Johor dibangunkan di atas tapak berkeluasan 4.73 hektar serta berada dalam kawasan Istana Besar. Masjid Sultan Abu Bakar- Sekolah Agama Johor- Zoo Johor semua setempat. Penjara Air Molek je jauh sikit tapi ada shuttle bus dari/ke zoo.
Zoo Johor dibuka pada tahun 1928 oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan diiktiraf sebagai zoo tertua sekali di Malaysia. Zoo Johor diuruskan oleh Kerajaan Negeri Johor sejak tahun 1962.
Setakat Januari 2025, zoo ini merekodkan sebanyak 373 ekor haiwan daripada 65 spesis yang tergolong kepada empat kumpulan iaitu mamalia, burung, reptilia dan primat. Antara spesis yang terdapat di Zoo Johor termasuklah Rusa sambar (Rusa unicolor), Tenuk Malaysia (Tapirus indicus), Buaya tembaga (Crocodylus porosus), Ungka Borneo (Hylobates muelleri), Kambing pigmi dan burung Kakaktua Palma (Probosciger aterrimus).
Menariknya Zoo Johor
Zoo Johor baru beberapa bulan dibuka kembali selepas proses renovasi. Sebenarnya renovasi masih berjalan di beberapa bahagian tapi tak menjejaskan sangat lawatan. Paling aku salute Zoo Johor ni mesra OKU.
Tiketnya murah je hanya RM10 untuk dewasa warganegara Malaysia dan aku rasa sangat berbaloi. Bayangkan kos membela binatang yang kena dijaga dietnya tapi kita hanya diminta membayar RM10 untuk melihat haiwan liar. Murah ke murah sangat?
Masa aku pergi tu punyalah ramai orang, ramai juga yang berkerumun tengok ular jagung dan burung kakak tua berdekatan pintu masuk jadi kami terus ke kandang binatang lain dulu, tengok tenuk hahahha.... Tapir/tenuk/cipan tu tidur je kerjanya, orang datang jejauh nak tengok dia.

Ular jagung. Adik tu kata kalau kepala bentuk macam ni tak berbisa. Kita tetap tacoddd
Mak mentuaaku geli betul dengan katak.
Haiiiii....!
Tenuk/tapir/cipan.
Beruang matahari tiga beranak.
Membahagiakan tengok mereka bergurau sesama sendiri.
Beruang matahari diklasifikasikan sebagai spesis terancam. Di Johor, Taman negara Endau-Rompin merupakan habitat penting bagi mamalia ini. Beruang matahari boleh memanjat pokok yang tinggi sekaligus menjadi ancaman kepada pencari madu. Seram beb. Elok ko dah sampai atas pokok tinggi sana dia pun naik, mana nak lari?
Aku seronok berjalan dalam zoo ni. Pada aku paling menarik di hujung sekali dimana rusa, kambing, lembu dan bangau bebas bergerak di padang rumput.
Makan sambil berak.
Pak Mat Western. Eh..
Mama...
Bawalah anak-anak atuk nenek ke...
Zoo JohorJalan Gertak Merah
Taman Istana
80000 Johor Bahru
Johor Darul Ta'zim
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.