Resipi Ayam Penyet MUDAH dan sedap



Resipi Ayam Penyet MUDAH dan sedap | Hari cuti rehat ni ialah hari para ibu bekerja menyediakan makanan enak untuk keluarga. Isnin hingga Jumaat sibuk bekerja, balik ke rumah pun seringnya sudah lewat untuk menyediakan makanan segar. Alternatifnya, tapau je dari restoran. Sesetengahnya pula masak banyak lauk sesiap hujung minggu kemudian dibekukan untuk dimakan di minggu yang seterusnya. Kaedah ini lebih menjimatkan masa dan belanja. Suami dan anak-anak pun masih dapat merasa air tangan isteri/ibu. Ini yang ai buat sebelum travel, kekadang siap dengan dessert dan biskut lagi.


Sebenarnya aku masak ayam penyet ni disebabkan si pemotong ayam tu tak dengar cakap 'bos' ni haa... aku kata potong kekecik dia pi potong besar, dahlah ayam tu saiz besar. Aku memang tak kuasa nak adjust balik, karang satu kerja nak membersihkan dapur dari air ayam yang terpercik. Jadi laju je idea datang nak masak ayam penyet.

Kenapa namanya ayam penyet? Sebab kena hempuk dengan pisau kot (macam di kedai) atau sebab tekstur ayam tu lembut. Ayam sebaiknya diperap semalaman dalam peti sejuk tapi aku perap dua jam je letak pada suhu bilik. Lagi lama lagi sekatalah rempah masuk ke dalam dagingnya.

Semua orang dalam rumah ni tak suka timun jadi ai tukar kepada daun salad. Tempe tiada dalam gambar sebab dah selamat dimakan dek anak-anak.

Sebelum hang kata susah banyak benda kena prepare aku dah siapkan cara kerjanya. Nak bagi anak-anak makan ni mak... lagipun bahan-bahan semuanya ada di rumah kita. Senang je masak Ayam Penyet, insyaAllah mereka suka. Jomlah kita memasak!

So my work flow are like this:
1. Rebus ayam then perap.
2. Selepas dua jam masak nasi.
3. Celup ayam dalam bancuhan tepung dan telur lalu digoreng.
4. Celup tauhu dan tempe dalam lebihan perapan lalu digoreng. Goreng satu persatu sebab tauhu tu perlu goreng sekejap je.
5. Lebihan bancuhan tepung tu campur dengan lebihan bahan perapan kemudian renjiskan dalam minyak panas untuk mendapatkan serdak yang kruk krak tu. Aku tamak nak banyak jadi aku tambah tepung, telur dan garam lagi 😃


Bahan-bahan:
Seekor ayam dipotong lapan (aku guna ayam daging je, sebahagian daging dah dimasak buttered chicken semalam)
3 ulas bawang putih - tumbuk
1 inci halia - tumbuk
Sedikit bunga lawang, buah pelaga
1 buku kiub ayam
Sedikit minyak untuk menumis

- Tumis bawang putih, halia, bunga lawang dan buah pelaga. Bila dah naik bau masukkan ayam,  gaul gaul sat tambah air. Air biar banyak sebab kita nak tanak nasi dan jadikan sup.
- Bila ayam dah empuk, angkat dan toskan.
- Buat yang ini dulu sebab by the time bahan perapan siap ayam pun dah suam, senang kita nak menggaul.

**Aku ni bukan suka mengulang proses sebab tu perap di hari yang sama juga. Rebus pagi tengahari dah boleh goreng ayam.


Bahan sampingan:
2 keping tauhu basah - potong empat atau enam
2 keping tempe - potong memanjang
Daun salad/timun


Bahan perapan:
1/2 sudu besar jintan putih (nak senang kenal, warnanya tak putih 😀- sangai
1/2 sudu besar jintan manis - sangai 
3 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk kari ayam        
1 sudu teh serbuk lada putih         
1 sudu besar serbuk kunyit
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 sudu teh garam

1/2 cawan tepung beras
Sebiji telur (aku gunakan 2 biji sebab telur ayam gred D, maklumlah beli dah nak penghujung bulan heheh... time baru dapat gaji beli yang gred A oii)

**sangai = goreng tanpa minyak

- Semua bahan yang boleh ditumbuk tu hang tumbuklah. Ketumbar tu kalau beli yang bukan serbuk sangai juga dulu. Kemudian campurkan bersama bahan lain dan gaul rata bersama ayam yang telah ditoskan airnya. Masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua jam. Seeloknya sehari semalam.

Cara menggoreng:
- masukkan tepung beras ke dalam telur yang telah dipukul. Sebelum menggoreng celupkan ayam ke dalam bancuhan tepung kemudian digoreng dalam minyak panas yang banyak. Aku tak buatlah gitu... aku biarkan ayam separuh tenggelam je. 


Sambal
2 biji cili besar hijau
4 biji cili besar merah
Segenggam cili padi (nak lebih pedas tambah lagi, baru boleh cili mulut orang 😁)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sudu makan ikan bilis
2 biji tomato
1cm belacan
Garam
Gula merah/pasir
Limau kasturi/nipis

- Goreng ikan bilis hingga garing. Ketepikan.
- Goreng pula sekejap semua cili, bawang, tomato serta belacan sehingga layu.
- Bila dah sejuk tumbuk kesemuanya tapi selain belacan, yang lain-lain tu tak perlu hancur sangat.  Masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk kasar.
- Tumiskan bahan sambal ni hingga wangi dan perasakan dengan garam dan gula. Kalau tak nak goreng semula pun masih sedap dimakan.
- Dah siap sambal pedas berapi. Fuhhh... berasap telinga.


Nasi ayam penyet
5 cawan beras (ni untuk lapan orang makan, guna cup yang dapat free tu)
1 sudu besar mentega
3 ulas bawang putih
3 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
Sehelai daun pandan

- basuh beras dan toskan.
- cairkan mentega dalam rice cooker kemudian tumis bawang putih dan rempah tiga beradik tu. Dah naik bau masukkan beras yang telah dibasuh, gaul dan biarkan sebentar.
- Masukkan 5 1/2 cawan air rebusan ayam tadi bersama daun pandan, biarkan sehingga masak. Nasi sepatutnya lembut dan berderai. Harum je dapur.

**Aku buat kerja menumis ni atas dapur gas. Dah masukkan sup baru pindahkan ke 'sarang' elektrik.


Bahan Sup
Daun bawang/sup
Bawang goreng

- Panaskan semula lebihan air rebusan ayam tadi. Masukkan serai lalu perisakan dengan garam. Jika rasanya kurang umphh tambah stok ayam atau sup bujut. Aku guna memana yang ada di rumah je
- Tutup api dan tabur daun bawang/sup/bawang goreng, ikut suka hanglah. Siap.


Selamat memasak ya ibu ibu solehah! 




Post a Comment

0 Comments