Rumah Warisan Haji Su | Rumah mewah tinggalan pedagang Melayu



Rumah Warisan Haji Su | Bukan semua perkara boleh dinilai dengan ringgit dan sen. Sepertimana pembelajaran seni khat yang dipertikaikan sesetengah orang kerana dikatakan tiada nilai kewangan, ia sebenarnya mampu mencungkil bakat seseorang pelajar dan mengasah motor di otak mereka.


Kedatangan ke Terengganu kali ini membawa kami kepada sisi lain negeri ini. Tiada lawatan ke pulau-pulau indah tiada juga aktiviti mencandat sotong. Kami dibawa melihat keindahan seni bina yang telah wujud sejak 169 tahun lalu di sebuah kampung Melayu.



Rumah Limas Belanda yang bersambung dengan rumah Bujang Berpeleh Kembar Tiga di belakangnya.

'Syurga' Haji Su Mohamad Salleh telah terbiar kosong sejak kematian anak bongsunya pada 2008. Demi mempertahankan binaan bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional negeri, kerajaan negeri Terengganu telah membeli dan memulihara kembali rumah ini untuk tatapan generasi hari ini dan masa depan. Kos sebanyak RM2.8 juta telah diperuntukkan bagi mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agar tidak lenyap ditean zaman. 

Apa yang pernah menjadi kebanggaan bangsa perlu terus diwarisi. Walaupun rumah asal yang ditinggalkan kelihatan tidak menarik lagi, tetapi kerajaan negeri nampak sesuatu yang bernilai di situ. Kerajaan negeri melalui Muzium Terengganu bukan hanya membeli rumah dan tanah sebaliknya membeli dan mengekalkan bersama ilmu tentang seni bina Melayu, yang melambangkan kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta budayanya. 

Rumah kayu yang ditinggalkan waris Haji Su di Kampung Losong Haji Su telah dibuka kepada umum semenjak 2017.


Sejarah rumah Hj Su
Haji Su seorang yang ternama di Terengganu suatu ketika dahulu. Beliau berdagang dengan kapal besar malah dikatakan mempunyai beberapa kapal dagang dan sebuah kapal penumpang yang belayar dari Terengganu ke Singapura. Untuk mengelakkan pergi dengan tangan kosong ke Kemboja dan Thailand Haji Su membawa garam dan membawa pulang beras Siam dan beras pulut yang kemudiannya dibungkus semula dan dijual di Singapura.

Hasil perdagangan itulah yang menjadikan Haji Su kaya raya, mampu membina rumah besar bak istana yang jarang dibuat masyarakat pada zaman itu. Sebenarnya ada lagi pedagang kaya di Losong tu, kita kena rajin berjalan untuk mencari rumah mereka yang kini dihuni waris. Aku agak mungkin dahulu tidak banyak disractions, takde Starbucks.. takde boba tea.. takde sibuk nak melancong serata dunia dan sebagainya, duit hasil berniaga fokus untuk memberi keselesaan kepada keluarga selain membeli emas, juga menunaikan ibadah haji dan umrah di Mekah.

Haji Su membina rumah Bujang Berpeleh Kembar Tiga yang besar walhal anaknya tidaklah ramai. Rumah yang diperbuat daripada kayu cengal didiami bersama kesemua anaknya. Kemudian beliau membina pula rumah Limas Belanda bersambung di hadapan, menjadikannya sebuah kediaman yang amat besar dan paling besar di kampung tersebut. Dia punya besar tu kan, minima dua orang pembantu rumah diperlukan hanya untuk membersihkannya setiap hari. Kalau seorang je, hari ni masuk kerja esok memang tak datang dah.

Bujang Berpeleh Kembar Tiga dilihat dari rumah Limas Belanda.


Ukiran yang cantik.

Bahagian tengah rumah Limas Belanda yang sangat luas untuk meraikan tetamu. Sebelah kanan tu ada ruang lagi sebelum laluan ke rumah Bujang Berpeleh Kembar Tiga.

Proses baikpulih yang mengekalkan struktur asal. Rumah tambahan yang moden dirobohkan.


Rumah asal sebelum proses pemuliharaan.

Rumah Melayu Terengganu ini dibina dengan mengambil kira adab Islam dan budaya Melayu. Verandah, pemisahan bilik ibu bapa dan anak-anak, ruang merai tetamu dan ruang keluarga yang terpisah, dapur yang luas, bilik air di luar... Orang Melayu ni selalu fikir, buat dapur besar nanti senang nak berkenduri. Buat bilik air luas biar senang nak mandikan jenazah. 

Inilah yang aku katakan dalam pos yang lepas, jika mampu melihat kita akan perasan ramai orang kaya di Terengganu ni. Dari dulu hingga kini. 


Rumah Warisan Haji Su @
The Haji Su Heritage House
Lot 7181, Kampung Losong Haji Su
21000 Kuala Terengganu
Terengganu

Waktu dibuka: 
Sabtu hingga Khamis dan cuti am 9 pagi- 5 petang

Tutup:
Hari raya pertama dan kedua

Tiket masuk:
TIADA




















Post a Comment

0 Comments