Makanan Istimewa Negeri Sembilan. Memang sodap tekau!



Makanan Istimewa Negeri Sembilan. Memang sodap tekau! | Untuk hidup manusia memerlukan makanan dan makanan itu pula berbeza rasa mengikut cuaca, negara/negeri, suku kaum dan penempatan. Jika berumah di kampung ulam-ulaman kebiasaannya menjadi menu harian selain sumber protein seperti ikan dan ayam.


Makan nasi tanpa lauk-pauk apalah maknanya kan? Di Negeri Sembilan ada beberapa jenis lauk yang menjadi ruji di setiap rumah. Ayam, daging dan ikan dimasak bersama kundang (buah setar), bacang, mangga muda, buah cepu, petai dan lain-lain sebagai penyedap rasa. Kaedah memasak yang selalu digunakan ialah merebus (menggulai) dan merendang. Rendang biasanya dimasak sehingga kering berderai, empat hari pun tahan tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk. Daging lembu, kerbau, ayam, itik, pelanduk, kijang dan rusa memang sedap dimasak rendang. Aku pernahlah merasa binatang eksotik tu tetapi tak tahu membezakan rasanya... macam sama jer.

Makanan Negeri Sembilan ni kan, memang sodap. Kebanyakannya menggunakan santan, lemak dan podeh (pedas). Sesetengah orang masak umangaiii podeh macam nak melada mulut kita je hahah... sebab itu lah sambal belacan tidak menjadi menu wajib dalam hidangan.

Di NS gulai merujuk kepada masak lemak cili api (orang sini panggil lado api) yang bahan asasnya ialah santan, kunyit hidup, cili padi dan serai/daun kunyit/asam keping. Manakala masak lemak ialah masakan yang dikategorikan manis seperti masak lemak umbut kelapa. Masak lemak cili api tidak menggunakan bawang, dimasak dengan api perlahan pada awalnya supaya santan tak pecah minyak. Santan tu pula mestilah pekat uols... aku masak tak ikutlah piawaian ini takut jantung tersumbat pula nanti. Dahlah malas excercise.


Di bawah ini antara makanan tersedap di Negeri Sembilan:

1) Gulai daging salai dengan bacang/buah cepu

Buah cepu. Sumber di sini.

2) Gulai ikan sembilang salai dengan kundang (buah setar)/petai

3) Lempeng ikan
- biasanya menggunakan ikan air tawar.

4) Rendang ayam kampung dengan daun puding
- bukan daun puding warna-warni yang emak awak tanam dalam pasu tu ye..hehehh

Itulah rupa daun puding. Sumber di sini.

5) Rendang pucuk ubi
- sedap giler weh

6) Gulai ikan dengan daun gelugur

7) Gulai telur itik dengan kulit rambai

Sumber di sini.

8) Gulai pisang muda dengan ikan bilis

9) Gulai siput sedut
- aku lemah betullah kalau anak-anak minta tolong sedutkan. Tak suka aku tengok rupa isi siput tu hahah...

10) Sambal daun kayu (sambal tempoyak daun)
- ada seorang caterer tu cerita, our late Yamtuan kalau dia minta lauk ini mesti cukup tujuh jenis daun. Raja pun makan macam kita juga uols.

11) Masak lemak labu

12) Masak lemak umbut kelapa
- umbut kelapa perlu direbus dahulu sehingga empuk.

13) Sambal gesek
- menjadi judu makanan manis seperti gulai umbut dan masak lemak labu. Bahannya ikan bilis, cili padi, perahan limau. Kalau ada kundang muda pun sedap ditumbuk sekali.

14) Kuih sopang
- kuih ini sama cara pembuatannya dengan kuih badak berendam tetapi berbentuk seperti karipap. Orang Kuala Pilah pandai buat ni 

**Kami goreng sardin pun lain tau. Rasanya garing, dicampur kicap dan pucuk ubi.


Aku tak tahulah di negeri lain ada ke tidak lempeng ikan ni. Meh aku share resipi. Sonang yo buek eh.

Resipi Lempeng Ikan
Ikan talapia atau ikut suka hang
Santan pekat
Cili padi - ditumbuk
Kunyit hidup - ditumbuk
Daun kunyit - dihiris
Perahan limau
Daun pisang
Garam

Aku jarang masak lauk ni jadi gambar sendiri memang takde. Sumber di sini.

Cara memasak:
Letakkan daun pisang dalam kuali kemudian letakkan ikan di atasnya. Masukkan santan dan bahan-bahan yang ditumbuk, hirisan daun kunyit dan garam. Masak dengan api sederhana. Tak perlu dikacau sangat sekadar nak siram kuah tu di atas ikan tadi. Jangan lupa terbalikkan ikan tu, kang sebolah yo masak eh. Bila ikan dah masak dan santan tu memekat padamkan api lalu perahkan air limau kasturi di atasnya. Makan dengan nasi paneh.Umangaiii..!


Resipi Rendang Pucuk Ubi
Dua ikat pucuk ubi - ambil yang muda, yang tua ganyut buang
Segenggam cili api - tak nak cili akar, tak best - dikisar
2 inci kunyit hidup - dikisar
2 batang serai - dititik
3 cawan santan pekat
2 sudu kerisik (kalau suka)
Segenggam ikan bilis 
2 keping asam gelugur
Garam

*ko tengok betapa banyaknya penggunaan santan

Sumber di sini.

Cara memasak:
Santan dijerang bersama semua bahan kecuali pucuk ubi. Masakkan sehingga kuah hampir kering dan berbuih kemudian masukkan pucuk ubi. Perlahankan api, tambah kerisik. Masa ni jangan main handphone, kena balik balikkan pucuk ubi supaya rata masaknnya dan garing. Dah siap.


Di Seremban ada beberapa restoran yang sedap masakannya dan aku boleh recommend tetapi daging rusa tu susah sket la nak dapat, di restoran yang pertama tu je kot:

1) Restoran Nelayan di Rahang
2) Restoran Wadi Ar Raudah di Rahang
3) Resoran Kak Lang di Lavender Heights
4) Restoran Sayang di Seremban 2 (sebelah Etiqa Takaful)
5) Muzium Negeri ada buat pakej makan berselo makanan asli Negeri Sembilan. Silalah bertanya dengan pihak muzium di :
Tel : 06-7631149 / Email : muziumpentadbiran@ns.gov.my / muziumn99@gmail.com

**Kebanyakan restoran ini beroperasi Isnin-Sabtu sahaja.


Mengetap bibir tak? hahah... poi cari kek pasar Ramadhan potang kang.










Post a Comment

0 Comments