Homestay Sri Paya, Kulai Jaya | Pengusaha Produk IKS yang berjaya



Pelancongan adalah perniagaan. Pertanian juga perniagaan.

Untuk menampung keperluan pelancong, negeri Johor yang maju menawarkan pelbagai jenis penginapan termasuk homestay yang selesa dengan harga yang berpatutan. Sebahagian besarnya adalah lengkap berperabot untuk kemudahan kita. Kampung yang ingin menyertai program inap desa perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sebelum diberikan lesen.Salah satu syaratnya adalah minima 10 buah rumah menyertai program tersebut di dalam satu-satu kampung.

Ada juga homestay di Malaysia ni yang betul-betul rumah kampung tradisional. Yang begini lebih diminati pelancong asing terutamanya dari Jepun suka hinggakan kalau homestay tu diperbuat daripada papan dan batu mereka memilih untuk tidur di tingkat atas (rumah papan). 

Kali ini aku berpeluang ke Homestay Kampung Sri Paya yang terletak daerah Kulai yang hanya berjarak 20km dari kotaraya Johor Bahru. Aktiviti atau tarikan yang terdapat di kampung ini seperti permainan tradisional, persembahan kuda kepang, tarian dan muzik serta lawatan ke ladang dan tapak pertanian. Industri kecil dan sederhana juga menjadi sebahagian tarikan ke sini. Maju bisnes pakcik makcik ni....

Homestay Kampung Sri Paya ditubuhkan semenjak 6 tahun lalu dengan penglibatan 25 buah rumah. Selain program homestay yang mana kita akan tinggal bersama tuan rumah, terdapat juga kampung stay iaitu kita sewa sebuah rumah. Produk makanan yang dihasilkan di kampung ini diantaranya ialah otak-otak, tempe, mi siput dan cendawan. Di Johor, terdapat empat jenama otak-otak yang terkenal iaitu Otak-Otak Kempas, JB, Muar dan Sri Paya.


Kami berehat sebentar di rumah Hj Arifin. Besar Betul rumah dia. Rumahnya dibahagikan kepada dua bahagian, bila ada penyewa bahagian tengah akan dikunci jadi penyewa ada privacy. Homestay beliau yang berbilik 5 itu disewakan dengan kadar rm300 sahaja semalam.


Kami datang di musim buah so kami buat macam kampung sendirilah. Ada yang sampai memanjat pokok. Nak aku pos gambar di sini ke kak? hahahah....karang dia remove aku dari friendlist pulak ;p Yang lain sedang berseronok bermain bola sepak dengan berkain pelikat.

Hj Arifin membela empat ekor harimau. Kalau ko nak pedajal kengkawan sendiri please make sure dia takde masalah jantung ya. Harimau ni digunakan untuk menghalau monyet/kera. Hasilnya positif dengan syarat harimau tu perlu dialihkan kedudukannya setiap hari. Monyet cerdik tau.

Kami dibawa ke Zai Foodstuff untuk melihat cara pembuatan mi siput. Cara membuatnya sama seperti pembuatan mi kuning tetapi dikeringkan selama sehari sebelum dipaketkan. Penghasilan sehari adalah sebanyak 60-100kg dan dipasarkan sekitar Johor. Ia boleh digoreng, direndam untuk melembutkan lalu dibuat mi sup/kari atau dibuat murtabak. Yang bergoreng rupanya seperti inang-inang yang banyak dijual di Melaka tu tetapi inang-inang diperbuat daripada pulut.



Kemudian kami melawat Kempas Food Enterprise pula. Perusahaan ini mengeluarkan makanan sejuk beku untuk dipasarkan sekitar Johor. Kenapa tak sampai ke luar Johor? Yang ini pun dah tak terbuat, katanya. Murah rezeki dia.

 Cerewet jugak proses membuat otak-otak ni

Tak susah manapun memproses tempe tapi kacang soya perlu direndam selama dua hari. Aku suka tempe tapi setakat ni kulit muka belum cekang lagi walaupun selalu makan tempe. Tipulah 'doktor' tu...

Kemudian melawat ladang cendawan pula. Menanam cendawan nampak je macam senang tetapi susah jugak, kena mengukus selama 10 jam. Kelembapan habuk kayu+serkam padi+ kapur pertanian perlu tepat. Nak menyuntik benih perlu dibuat di dalam bilik khas dan bukan sembarangan orang dibenarkan masuk untuk mengelakkan jangkitan bakteria. Haiii cerewetnya...aku beli jelah kat kedai.

Baguslah penduduk Kampung Sri Paya ni, tak mensia-siakan masa mereka. Ada yang menyewakan rumah, ada yang bertani dan memproses makanan. Yang penting kedua-dua bidang ini kait-mengait untuk memajukan kampung disamping meningkatkan pendapatan penduduk.

Produk homestay sesuai kita terokai secara berkumpulan. Kepada yang berminat untuk merasai pengalaman di sini bolehlah berhubung dengan:

Koordinator, Hj Mohd Lazim bin Abu Bakar 016-7163071
Setiausahanya, Hj Ahmad bin Mohamed 019-7007008
Emel : hjahmadmohamed@yahoo.com.my
website : www.kgsripayahomestay.blogspot.com

Kampung Sri Paya Homestay
C108-A, Jalan Susur Masjid 2
Kg Sri Paya
81030 Kulaijaya
Johor

**Inilah pertama kali aku jumpa homestay yang siap booklet bagai. Sudah pasti program ini diuruskan dengan baik di sini. Bak kata Tun Ling Liong Sik elok kepala ikan maka eloklah badannya.

Post a Comment

1 Comments

  1. Banyak perusahaan IKS di Selatan Tanah Air. Kalau saya ke uar selalu ada terima kiriman. Bila lihat cendawan terkenang pengalaman dahulu pernah menjadi pengusaha cendawan.

    ReplyDelete

Feel free to leave your comment below. Thank you.