Pernahkah anda ke Tugu Negara @ National Monument?



Pernahkah anda ke Tugu Negara @ National Monument? Di tengah bandar Kuala Lumpur ada banyak tempat lawatan yang menarik dan percuma. Ya, tanpa bayaran masuk dan tempat meletak kenderaan juga percuma.


Berhampiran dengan bangunan Parlimen bersebelahan Taman Tasik, Tugu Peringatan Negara atau lebih dikenali sebagai Tugu Negara @ National Monument dibina sebagai sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Disiapkan pada 8 Februari 1966 Tugu Negara yang ada kini menggantikan lokasi asalnya bila di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, yang didirikan oleh Pentadbir British bagi memperingati peperangan dan perwira yang terkorban.

Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa Tugu Peringatan Negara ini merupakan simbol kemenangan penduduk Tanah Melayu melawan pengganas komunis dan kemenangan kepercayaan rakyat kepada negara. 

Sewaktu perasmiannya tiupan trompet yang sayu dimainkan ketika DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung menyingkap tirai kuning yang menutupi papan nama tugu. Serentak dengan itu bendera Malaysia dinaikkan perlahan-lahan ke puncak tiang yang dipegang oleh salah satu patung pada tugu tersebut.

Tugu Negara pernah dibom oleh pengganas komunis pada 26 Ogos 1975. Kejadian jam lima pagi itu telah didengari sendiri oleh Tunku Abdul Rahman kerana kediaman rasminya berdekatan. Akibatnya satu patung jatuh, dua patung putus kepala dan rosak pada bahagian kaki. Lantai marmar di sekeliling kawasan tugu turut retak sepanjang 0.6 meter disebabkan jatuhan patung besar. Kerja membaikpulih Tugu Peringatan Negara dilakukan oleh Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara, Christoper Carney dan telah siap pada 11 April 1977.


Deskripsi Tugu Negara
Tugu Negara yang diperbuat daripada gangsa ini berbentuk tujuh patung lelaki mewakili askar Tanah Melayu yang berjaya dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Setiap satunya membawa watak yang melambangkan pimpinan, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, getir dan pengorbanan.

Diiktiraf sebagai arca berkumpulan yang tertinggi di dunia, tugu setinggi 15 meter ini direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon atas permintaan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Pereka ini juga bertanggungjawab membina United States Marine Corps War Memorial (Iwo Jima Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat. Setelah beliau melihat tugu yang di Amerika itulah Tunku Abdul Rahman mendapat idea untuk pembinaan versi Malaysia pula.

Didedikasikan kepada pejuang yang berani demi keamanan dan kebebasan. Semoga Allah merahmati mereka.

Bunga kebangsaan Malaysia, bunga raya, dan Tugu Negara.


Bagaimana mendapatkan draf awal rupabentuk Tugu Negara?
Sebelum tugu ini dibina, 60 orang askar dari Kem Sungi Besi dipanggil untuk pemilihan. Salah seorang askar yang disenarai pendek, Mat Shupur Khamis, menceritakan bahawa mereka diminta membuat gaya tertentu seperti diminta pereka bentuk. Untuk menghasilkan tugu seperti yang kita lihat hari ini maka mereka 'yang terkorban' terpaksa berada di dalam keadaan bertindih selama proses fotografi. Gambar terbaik dihantar kepada pengukir tugu di Amerika sana. Tugu ini dibuat di luar negara sebelum dihantar menggunaan kapal laut ke sini.

Entah berapa kali shoot lah agaknya tu kan? Bukan boleh shoot delete shoot delete seperti sekarang. Semua tahu teknologi fotografi dan videografi puluhan tahun dahulu sangat berbeza daripada sekarang.


Perbarisan Hormat
Sejak 1963, secara tradisinya pada 31 Julai setiap tahun satu perbarisan hormat diadakan di Tugu Negara. Namun begitu Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 telah membuat keputusan bahawa upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara dianggap perbuatan syirik dan khurafat. Sehubungan dengan itu mulai 2010, lokasi sambutan Hari Pahlawan dipindahkan dari Tugu Negara ke Putrajaya. 

Sidang media tentang keputusan itu diberikan oleh Menteri Pertahanan dan Menteri Agama Islam ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Jamil Khir Baharom. Lama juga ambil masa untuk menghentikan upacara ini.

*Syirik adalah salah satu daripada tujuh dosa besar yang tidak diampunkan Allah kecuali benar benar bertaubat.*


Tulisan yang cukup bermakna di Tugu Negara ini, 
Demi memperingati wira-wira yang menjaga keamanan dan kebebasan. Semoga mereka dirahmati Allah.
Di pintu masuk kompleks tugu ini berdirinya tiang asal dan padanya tercatat tarikh tragedi kemanusiaan yang penting kepada negara kita Malaysia (dahulunya Tanah Melayu/Malaya).

Bagaimana untuk ke Tugu Negara?
Paling mudah menggunakan teksi atau Grab.

Untuk yang mahukan penjimatan dan berjalan santai, sila naik KTM Komuter dan turun di Stesen Bank Negara. Berjalan terus ke arah Bank Negara dan ikuti sahaja papan tanda yang menunjukkan Jalan Parlimen atau Taman Tasik (Lake Garden). Perjalanan lebih kurang 15 minit. #dekatje


Tarikan pelancongan lain berdekatan Tugu Negara
Oleh kerana ia bersebelahan Taman Tasik, bayangkanlah kawasan hijau seluas 92 hektar yang menyejukkan mata. Selain Tugu Negara kita juga boleh melawat Taman Burung KL (KL Bird's Park), Taman Rusa, Taman Rama-Rama dan Taman Bunga Raya dan Orkid.

Masjid Negara, Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam, Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Abdul Razak (rumah rasmi keluarga Dato' Seri Najib Razak ketika bapanya menjadi Perdana Menteri), Memorial Tun Huseein Onn dan Seri Perdana juga dalam kawasan besar ini.


Pelancong asing dah pergi ke sini... anda bila lagi? Jangan sampai mereka yang bercerita tentang Tugu Negara kepada kita pula nanti.


Tugu Peringatan Negara
Jalan Parlimen
50480 Kuala Lumpur

Waktu beroperasi: 8 pagi - 10 malam

Post a Comment

0 Comments