Konvokesyen Perdana IPMA | Bila Allah Mendengar Rintihan | Menjaga dan mendidik anak bukan mudah kerana setiap anak berbeza karektor. Walau lahir dari rahim yang sama ada anak pendiam, ada yang terlebih aktif, ada yang putus urat senyum 😏
Curhat.
Aku agak emosional di hari konvokesyen anak bertuah yang seorang ini. Ingat lagi masa aku hantar dia masuk darjah satu di SRIAS, entah kenapa terasa sebak padahal dia nombor tiga. Apaknya kata, eleh… itu pun nak nangis.
Dia ni anak yang bijak, aktif ko-ku juga. Masa sekolah rendah aku pernah marah dia sebab homework tak siap. Aku suruh dia buat masa cikgu tak masuk ke kelas atau waktu senggang sebelum kelas KAFA. Dia ikut sebab petang nanti dia nak main di padang selepas mengaji. Mengaji pun paling pantas, mula dengan Iqra' masa darjah satu darjah tiga dah khatam. Bertambah banyak masa bermain. Bab siapkan homework di waktu senggang ni aku selalu jadikan dia contoh kepada adik-adik. Bila kita bercakap nampak macam buat tak tahu tapi dia mendengar.
Jadual anak-anak kami memang padat. Bersekolah di SRI dari 7.30 pagi hingga habis KAFA jam 5 petang dah siap solat Asar. Lepas tu bermain, malam mengaji. Rasanya darjah tiga hantar belajar berenang dan bila ada tournament kena buat latihan intensif setiap hari 5-7 petang. Masa ni mak masih muda dan cenge... mereka bertiga tak terjun dari platform lima meter aku pergi tepi kolam sambil cekak pinggang (muka ada subtitle: ko jaga balik kang!) 😄😄. Kemain lagi kan... padahal masa guide suruh terjun satu meter ke Sungai Sedim aku takut hahahah...
Pernah dapat tempat ketiga dalam acara free style renang di MSSMNS. Waktu kanak-kanak dan remajanya dihabiskan dengan main bola. Minat sangat main bola sampai dapat temuduga masuk Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari masa umur 12 tahun. Kekecewaan dia tak terpilih tu jelas terpancar di muka bila kawan seangkatan masuk berita TV3 dapat ke Barcelona, Spain. Aku ingat lagi aku dan apaknya jemput dia di Gambang masa dia masih dalam proses temuduga pemilihan ke ABNMD untuk hadiri temuduga sekolah agama. Dia dapat jawab semua soalan dalam masa 15 minit je, terkejut aku hahahah sebab aku baru je sampai rumah. Lepas tu aku terus hantar dia balik Gambang. Rehat setengah jam lepas tu aku balik semula ke Seremban. Seorang, naik kereta kebal tu.
Tak dan masuk tingkatan dua di Sekolah Agama X dia nak pindah juga ke sekolah sukan. Keras kepala. Lepas tu dia terus hanyut dengan bola, pergi sekolah sebab nak main bola je. Cikgu kelas dan cikgu bola dia tahu sangat hal ni. Pada tahun akhir, apa yang cikgu kelas dia cakap kat aku, akak doakanlah. Habis ikhtiar.
Hati aku gundah tak tergambarkan bila anak paling bijak tapi hanyut. Aku terbayangkan masa depan yang gelap tanpa pelajaran. Bukan tak percaya dengan rezeki Allah tapi Allah suruh kita berusaha sehabis baik. Ilmu boleh mengubah jalan hidup kita menjadi lebih baik. Setiap hari selepas solat Dhuha aku menangis mengadu nasib pada Allah sehinggalah satu hari tu aku migrain. Esok dan lusa migrain lagi selepas menangis. Sejak tu aku tak menangis dah.
Dia mula tersedar nasib diri bila ambil keputusan SPM. Dengan rekod tak hadir ke sekolah tu dia masih dapat keputusan yang lebih baik daripada sebahagian rakan sekelas yang datang ke sekolah setiap hari. Cikgu dia pun tak sangka. Aku ulang kat dia, "kan mama dah kata ko tu pandai tapi tak dengar cakap!" (typical Asian mum 😂). Aku belanja dia makan di Pizza Hut pada hari tersebut. Kami berdua sahaja.
YBhg Ir. Dr. Mahzan bin Teh, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat). Pesan beliau, "graduan jangan takut bermimpi besar".
Aku mohonkan ke kolej TVET. Selepas tamat pensijilan di IKM Jasin dia sambung diploma pula. Konvo IKM Jasin dia tak pergi, dia kata pergi masa diploma nantilah. Kami ikutkan sajalah dah tuan badan tak nak pergi tapi aku rasa terkilan juga namun aku ambil sikap berdiam untuk menjaga hati dan mental sendiri.
Sebelum sambung diploma tu dia dah cakap, "kita tak nak belajar jauh jauh". Hmm… dapat lagi jauh ke selatan tapi disebabkan kawan baik dan beberapa orang lagi pun dapat belajar di sana dia ikutlah. Dia ingat mak ayah dia berduit sangat nak pilih memana kolej? Mak pun tak keje masa tu.
Selepas tamat di IKM Jasin kami tak perlu nasihat suruh belajar dah, dia tahu sendiri sebab kengkawan dia semua cemerlang. Yang lemah akademik di sekolah masa sijil dan diploma boleh dapat cgpa >3.5 secara konsisten dan ada yang masuk pertandingan Worldskills. Dia sendiri dapat 3.74, 3.76, 3.78 dan tertulis di transkrip "This student has been awarded the platinum award". Alhamdulillah. kami mak ayahnya gembira, terlepas satu beban yang menghempap kepala.
Pernah aku sesaja google nama dia kemudian muncul nama dalam Anugerah Dekan sesi Jan-Jun 2023. Aku tahu result dia tapi dia dia tak bagitau pun dapat Anugerah Dekan dalam Majlis Anugerah dan Appresiasi Kecemerlangan Pelajar AKCEP JD2023.
Dalam Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2025 dia naik pentas. Aku gembira dan sebak. Aku nampak apaknya menyeka air mata. Sehingga hari ini aku masih terasa sebak. What a miracle masyaAllah. Alhamdulillah ya Allah. Sekarang dia sambung ijazah di universiti.
Aku masih berusaha dan berdoa, selebihnya atas ihsan dan rahmat Allah. Semoga Allah menyayangi dan mengasihani kami hingga ke akhir hayat.
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat apa lagi yang mahu kau dustakan?- Surah Ar Rahman Ayat 13
Tamat majlis, aku mesej bekas cikgu bola yang dia hormat tu.
"Cikgu, anak saya dah jadi orang. Terima kasih atas doa semua cikgu yang terlibat. Cikgu jangan panggil dia bagi talk pula nanti semua budak ponteng"
Cikgu: 😂😂😂
Doa aku untuk anak-anak, semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan meredhai mereka sebagaimana redhaku. Dijadikan mereka anak-anak yang taat perintah Allah dan Rasul-Nya. Diberi kesihatan dan keselamatan, dipelihara zuriat keturunanku daripada maksiat dan dosa, dijadikan manusia yang tinggi budi pekerti, pemurah, menyayangi dan mengasihani kami hingga ke akhir hayat dan semoga diberikan rezeki yang luar biasa agar mereka dapat menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain. Semoga mereka dapat berbakti dengan ikhlas kepada agama, bangsa dan negara.
Kepada ibu bapa yang menerima ujian sama, jangan berputus asa. Teringat pesan seorang ustazah, kita tak boleh berputus asa dengan anak-anak kita sendiri. Terus kuatkan hati.
*
*
*
Aku percaya kebanyakan ibu bapa sentiasa berusaha dan berdoa yang baik untuk anak-anaknya. Lantaran itu jika ada isu panas mengenai perangai teruk kanak-kanak dan remaja di luar sana dan ibu bapa mereka terus dikecam sebagai tidak tahu menjaga anak, aku doakan mereka yang bercakap tak pakai otak ni diberi ujian sama.
Rasakan sendiri mampu ke tidak menanggung ujian tu. Selagi diri sendiri tak diuji memang sedap mengata orang. Kadangkala bila kita baca kronologi kes atau cuba mencantum berita dari pelbagai sumber, jelas bukan 100% salah ibu bapa pun.
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.