Wat Pho | The Reclining Buddha In Bangkok, Thailand




Wat Pho | The Reclining Buddha In Bangkok, Thailand | Bangkok terkenal dengan pelbagai perkara, diantaranya ialah terdapat banyak kuil Buddha di ibu kota tersebut. Ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana 85 peratus penduduk Thailand menganuti agama tersebut. 

Lokasi yang pertama kami lawati dalam program Women's Journey Thailand ialah sebuah wat Siam yang tersenarai sebagai wat yang terpenting dalam enam wat diraja. Ia sangat terkenal dan dihormati menjadikannya 'a must see' apabila berada di Bangkok.

Wat Pho ialah kompleks wat/kuil Buddha yang dibina di Rattanakosin, selatan Grand Palace. Nama rasminya ialah Wat Phra Chetuphon Vimolmangklararm Rajwaramahaviharn manakala gelaran Wat Pho ialah singkatan kepada nama asalnya Wat Photaram. Wat Pho wujud sebelum Bangkok menjadi ibu negara lagi. Ia dibina semula di zaman King Rama I. Renovasi dan pembesaran kompleks wat berlaku secara besar-besaran sewaktu pemerintahan King Rama III. 

Dulu, ibu negara Thailand di Ayutthaya tetapi ia musnah apabila berlaku peperangan dengan Myanmar. King Rama 1 telah mengarahkan supaya patung-patung Buddha di tapak kuil lama di Ayutthaya dipindahkan ke sini menjadikan Wat Pho sebagai sebuah kuil yang memiliki paling banyak koleksi imej Buddha.


Wat Pho Sebagai Pusat Pembelajaran
Diatas kesedaran bahawa ilmu berharga diancam kepupusan, Wat Pho dijadikan pusat pembelajaran perubatan Thai yang pertama di Thailand diatas arahan King Rama III. Hingga kini ia masih menjadi tempat pembelajaran seni urutan Thai. 

Ensaiklopedia bergambar dalam bidang sejarah, perubatan, kesihatan, adat, kesusasteraan, peribahasa, perkamusan dan agama Buddha diukir di kepingan granit supaya tidak hilang ditelan masa. Ilmu berkenaan urutan Thai dan subjek lain ditempatkan di sekitar wat. Begitu juga dinding dalamnya yang menggambarkan mengenai pentadbiran, kisah rakyat jelata dan pertanian yang menjadi pekerjaan utama di waktu itu. Ilustrasi dan inskripsi di Wat Pho telah didaftarkan oleh UNESCO di dalam Memory of World Programme yang diwujudkan untuk mempromosi, memulihara dan mewar-warkan warisan dunia.







Phra Ubosot (Phra Uposatha) atau bot (atas kiri) ialah ruang utama untuk melaksanakan ritual agama dan merupakan bangunan paling suci dalam kompleks Wat Pho.



The Reclining Buddha @ Buddha Berbaring

Wat Pho salah satu diantara wat yang tertua di Thailand. Ia menempatkan patung Buddha sepanjang 46 meter panjang dan 15 meter tinggi berwarna keemasan. Bentuk ikonik ini menggambarkan Buddha berbaring sewaktu kemasukannya ke dalam Nirvana dan berakhirnya jelmaan semula. Ia mengiring ke kanan sambil tangannya mengampu kepala yang ditindan dua biji bantal mozek.


  

Kaki Buddha setinggi tiga meter dan selebar 4.5 meter. Ada kerja-kerja pemuliharaan di bahagian kaki sewaktu aku ke sini.

Wat Pho juga indah dirakamkan gambarnya di waktu malam.


Phra Maha Chedi Si Ratchakan


Di luar Phra Rabiang terdapat banyak chedi/stupa yang lebih kecil yang dipanggil Phra Chedi Rai. 71 buah chedi kecil setinggi lima meter setiap satu menempatkan abu mayat keluarga diraja dan 20 yang besar sedikit dalam lima sekumpulan mengandungi tinggalan Buddha.



Walaupun reclining Buddha bukanlah tempat tumpuan keagamaan tetapi ia merupakan simbol ketaatan agama. Sambutan tahunan untuk Buddha ini sekitar waktu Songkran, dalam bulan April.


Bagaimana untuk ke Wat Pho?
Cara mudah untuk ke Wat Pho ialah dengan menaiki BTS Skytrain hingga ke stesen Saphan Taksin dan ambil Exit 2. Dari sana naiki pula bot Chao Phraya River Express. Naik bot penumpang biasa tu baru 14 baht. Turun di Tha Thien pier kemudian berjalan je terus mengikut signboard, kalau tak pasti ringankan mulut bertanya. Di stesen Saphan Taksin ada Tourist Information Centre... tanya je kat depa.


Tiket Masuk
100 baht bagi pelancong asing.

Nak berurut pun boleh... 250 baht untuk 30 minit, 400 baht untuk servis selama sejam tapi aku pun tak perasan tempat berurut tu sebab punyalah ramai pelawat. 


Waktu Operasi
8.00 pagi hingga 6.00 petang. Compound boleh dilawati hingga 10 malam.


Do's and don't
1. Kasut tidak boleh dipakai di dalam wat. Mereka akan bekalkan kita dengan beg plastik untuk menyimpan kasut.

2. Sleveless, berseluar/skirt pendek atas lutut tidak dibenarkan. Nak masuk rumah ibadah orang pepandailah bawa diri. 

3. Kalau ada sami (monk) tundukkan kepala sedikit dengan tangan dirapatkan ke dada tanda hormat.(faham kot bagaimana?) 

4. JANGAN pegang monk. 

5. Nak wefie dengan monk? Aku tak pastilah boleh ke tidak tapi tak pernah nampak pun sesiapa buat begitu. Jangan ko memandai hahah..






Post a Comment

0 Comments