Pengangkutan Awam Yang Murah Dan Mudah Di Bangkok

Pengangkutan Awam Yang Murah Dan Mudah Di Bangkok | Bangkok yang dahulunya dipanggil 'Krung Thep" menjadi ibu negara Thailand selepas berpindah dari Ayutthaya pada 1782. Ia menempatkan lebih daripada lapan juta manusia setiap hari. Tidak hairanlah mengapa jalanrayanya begitu sesak dengan kenderaan. 



Kota Bangkok terbahagi kepada dua bahagian, lama dan baru. Yang baru dipenuhi dengan bangunan unik yang tinggi serta pusat membeli-belah yang begitu banyak dan menjadi 'syurga' membeli-belah kepada wanita. Dari segi harga barangan Bangkok (Thailand secara keseluruhan) sememangnya menjadi saingan Malaysia. Terkenal dengan kehidupan malamnya yang 'nakal' Bangkok juga dikenali kerana dengan kuilnya, istana, terusan dan pasar.  Ia menjadi nadi kehidupan dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, keagamaan, budaya, politik, pendidikan dan perniagaan.

Kesesakan lalulintas di Bangkok diketahui ramai. Perjalanan kami ke Royal Thai Naval Convention Hall untuk majlis makan malam dari hotel di Ratchadamri mengambil masa hampir satu setengah jam di waktu puncak. Sedangkan perjalanan balik hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam. Namun begitu pihak berkuasa Thai menyediakan pelbagai alternatif untuk memudahkan kehidupan rakyatnya. BTS, MRT, teksi, teksi motor, bas, tuk tuk dan bot membantu mempercepatkan perjalanan.

Walaupun kita mengikuti pakej pelancongan di sana elok juga mencuba beberapa jenis pengangkutan awam untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat setempat. Otherwise kita akan berada dalam dunia kita sendiri walaupun berada di negara orang. Naik public transport la best beb.


Bagaimana untuk ke Bangkok dari lapangan terbang?

Bangkok memiliki dua lapangan terbang, Survanabhumi dan Don Muang. Don Muang menyelaras pelepasan/ketibaan perkhidmatan penerbangan tambang rendah domestik dan antarabangsa.

Dari Survanabhumi Airport
Untuk perjalanan yang lancar dan sepantas 18 minit sahaja kita boleh menaiki Airport Rail Link (Express Line) yang berkelajuan 160km/j. Waktu operasinya bermula jam 6:00 hingga 24:00 .

Yang biru tu City Line, yang merah Express Line.

ARL Express Line terus menuju underground inter-change station MRT Makasan manakala ARL City Line akan berhenti di enam buah stesen termasuk MRT Makasan sebelum berakhir di BTS Skytrain (lrt) Phaya Thai station. Perjalanan lengkap mengambil masa 30 minit. Macam KLIA Ekspress dan KLIA Transit dari KL Sentral tu. Dari stesen Makasan kita boleh menyambung perjalanan ke arah lain dengan menaiki metro di MRT Petchaburi. Kalau rasa sampai Bangkok terus nak shopping sila naik City Line dan turun di Ratchaprarop untuk ke Pratunam (yang ada Platinum Mall semua tu).

Sila ke tingkat satu untuk menggunakan ARL. Tambang 15-45 baht berdasarkan jarak.


Dari Don Muang International Airport
Seperti biasa kalau nak mudah naik saja teksi. Jika tiada apa yang dikejar boleh naik bas Airport Shuttle A1 dan turun di bus stop BTS Mo Chit. Jika mahu menyambung perjalanan ke daerah lain turun di stesen bas Mo Chit. THB30 saja dik untuk berjalanan lebih kurang 20km. Frekuensinya setiap 20 minit dengan tempoh perjalanan sekitar 60 minit.

Ataupun kalau nak mencuba kelainan boleh naik keretapi Northern Line ke Hua Lamphong Railway Station. Semua jenis keretapi akan berhenti di Stesen Don Muang. Seberangi jejantas di belakang airport tu. Dari HLRS boleh naik MRT/bas/teksi ke destinasi memasing. Tambang hanya 8 baht. Murah tapi lambat :-)) 

Air Asia beroperasi dari sini jadi kalau ada connecting flight dengan international airlines lain kenalah buat kira-kira bab masa tu kerana kebanyakan iternational flights berlepas dari Suvarnabhumi Airport.


PENGANGKUTAN AWAM DI KOTA BANGKOK

Keretapi @ Train service in Bangkok
Perkhidmatan keretapi di Thailand yang berpusat di Hua Lamphong Railway Station menghubungkan banyak bandar kecil dan besar dengan kekerapan tinggi. Seronok menaiki keretapi di Thailand terutama di waktu pagi. Tak perlu risau dengan kesesakan kerana kita melawan arus, orang sibuk ke Bangkok kita keluar dari Bangkok. Dalam train tu nanti pelbagai ragam orang kita boleh lihat. Selalunya mereka ramah tapi tak boleh berbahasa Inggeris. Ada sajalah nanti akak akak yang menjual air, makanan berat dan snek.

Stesen Keretapi Hua Lamphong ialah stesen utamanya yang dihubungkan dengan sistem MRT Hua Lamphong. Ia juga berdekatan Yaowarat, pekan Cina yang menjual barangan secara runcit dan borong.

Tiket boleh dibeli pada hari yang sama atau advance. Sila berurusan di kaunter sahaja, they are there to assist you. Tak perlu nak berbahasa Inggeris tersusun sangat, cakap direct ke mana nak dituju. Just be polite.

Perkhidmatan keretapi boleh digabungkan dengan mini bus (van) dan feri. Sebenarnya menaiki keretapi menjimatkan waktu menunggu tidak seperti menaiki kapal terbang. Sebelum fly kita perlu berada di lapangan terbang dua jam sebelum departure. Naik keretapi ni lima minit sebelum pun boleh.

Aku selalu naik third class coach saja... walaupun koc kelas ketiga tanpa air-cond ianya selesa, selamat, murah dan bersih. Nyaman rasanya muka ditampar bayu pagi. Boleh lihat di sini untuk semak jadual perjalanan.


Metro @ MRT
Buat masa ini hanya ada satu Blue Line dari Hua Lamphong ke Bangsue Station. Tiket MRT dan Skytrain berlainan. Yang bagusnya kalau tiada wang kecil kita boleh terus membeli tiket di kaunter.

Jika hendak ke Chatuchak Weekend Market sila turun di Kamphaeng Pet, ia betul betul dalam pasar malam terkenal tu. Stesen Chatuchak Park agak jauh.. cair mekap weh. Jika mahu ke Khlong Toei wet market sila exit di Queen Sirikit National Convention Centre. Dekat.


BTS Skytrain
Skytrain banyak membantu mengurangkan kesesakan lalu-lintas di Bangkok. Walaupun kita tetap rasa penat dalam kesesakan trafik di sana cuba bayangkan pula jika Skytrain tiada? Air pollution satu hal, boleh hilang kesuburan dek stress ni.

Terdapat dua jaluran iaitu Sukhumvit Line laluan Bearing-Mo Chit dan Silom Line laluan Bang Wa-National Stadium. Jika mahu menggunakan bot ke Siriraj Museum contohnya, turun di stesen Saphan Taksin kemudian naiki bot. Jika mahu ke Chatuchak Weekend Market turun di Stesen Mo Chit dan berjalan kaki sahaja dari sana. Kalau malas, sambung naik MRT dari Stesen Chatuchak Park dan turun di Stesen Kamphaneg Phet. Tu tahap malas sangat dah tu heheh...

Kaunter yang disediakan hanya untuk menukar wang besar kepada denominasi yang lebih kecil. Tiket kena beli di vending machine yang disediakan. Tourist pass untuk perjalanan sepanjang hari pun ada dengan kadar 100 baht + deposit kad 30 baht yang akan dipulangkan semula. Multiple ride pass pun ada. Sila dapatkan maklumat lanjut daripada Customer Service Staff. Cara ini lebih memudahkan sekiranya mahu berlamaan di Bangkok. Takdelah sampai terbalik handbag mencari duit syiling heheh..


Chao Phraya Express Boat





Sungai Chao Praya menjadi mercu tanda Bangkok dan nadi kehidupan penduduknya. Sungai ini sangat sibuk dengan bot dan cruise ship. Pada aku sistem pengangkutan air ini sangat menarik dan agak efisien. Terdapat dua jenis bot, yang bendera biru tu Tourist Boat, bendera oren public boat. Ada lagi satu bendera kuning.

Rasanya kebanyakan pelancong ingin cuba menggunakan perkhidmatan  Chao Phraya Express Boat ini. Dahlah tambangnya murah, senang saja menggunakannya. Yang penting kita tahu di mana nak turun. Sathorn (Taksin) dianggap central station kerana menghubungkan kepada BTS Saphan Taksin. Bot-bot ini  beroperasi setiap 5-20 minit dari 6:00 - 17:00 jadi kita tak perlu terpengaruh dengan 'ayat-ayat' pengusaha teksi sungai yang cajnya lebih tinggi.

Bot-bot ini pada asasnya bergerak dari Wat Rajsingkorn ke utara hingga Nonthaburi dan berhenti di kebanyakan tarikan pelancongan di Rattanakosin seperti the Grand Palace (Tha Chang), Wat Pho (Tha Tien), muzium di Hospital Siriraj (Siriraj) dan bacpackers mecca, Khao San Road (Phra Arthir pier). Di pengkalan/jeti yang besar kita boleh beli tiket sebelum boarding. Tak pun bayar saja kepada konduktor bot. Bot bendera oren yang banyak berhenti di tourist attractions.

Selain daripada itu ada juga feri untuk menyeberangi sungai yang servisnya setiap 10 minit. Tambangnya hanya THB3. Tiga posen ja... Tiket beli di kiosk.


Saen Saep Express Boat
Bot ini memberi servis sepanjang Saen Saep Canal (terusan @ khlong) sepanjang 18km, salah salah terusan yang melalui Bangkok. Ia digunakan penduduk tempatan berulang-alik ke tempat kerja bermula 5.30 pagi hingga 8.30 malam.

Terusan ini selari dengan Phetchaburi Road dan memberikan kemudahan akses kepada Golden Mount di Rattanakosin (dan Khao San Road) ke Siam Square dan Pratunam. Golden Mount Line bermula dari jeti Panfa Leelard ke jeti Pratunam. Jika mahu menyambung perjalanan selepas Pratunam anda perlu menukar bot di sini, sila naik NIDA Line pula. Ia akan membawa ke arah timur ke Sukhumvit dan Ramkhamhaeng. Jangan buang tiket eh.

Tambangnya 10-20 baht dan dibayar di atas bot. Ia tak berhenti di setiap jeti jadi gunakan loceng yang disediakan sebelum sampai ke jeti yang berkenaan. Bolehlah try kalau kita nak melihat kampung orang.


Teksi Sungai
Teksi sungai ini boleh disewa sekiranya tempat yang ingin kita tujui itu berlainan dengan yang telah disetkan kerajaan. Kosnya lebih tinggi sehingga 1,000 bath seorang.


Bot Pelancong (bendera biru)
Bot ini lebih sesuai digunakan pelancong jika mahu ke lokasi-lokasi menarik di Bangkok. Tambangnya 150 baht untuk day pass dan akan tamat beroperasi jam 3 petang. Single ticket 40 baht. Bot ini lebih selesa dengan English commentary. Tibanya setiap 30 minit.

Disebabkan mereka ni berebut pelanggan, kekadang mereka memberi maklumat yang salah. Bot pelancong ini juga akan berhenti di public piers yang ada tulisan biru "Tourist Boat" yang bermakna anda juga boleh menaiki bot berbendera oren. 


Canal Tour
Bot-bot ini kebanyakannya bermula di sebelah timur Sungai Chao Praya hingga Thonburi, melewati Wat Arun, the Royal Barges National Museum dan pasar terapung. 



Tuk-tuk
Kenderaan beroda tiga ini bergerak dalam bandar Bangkok. Elok dapatkan tuk tuk yang sedang bergerak di jalan raya daripada yang menunggu pelancong disesuatu lokasi. Pastikan driver tuk tuk bersetuju ke destinasi yang ditentukan dan pastikan harga tambang sebelum naik. Kalau dia buat perangai turun saja. Kekadang tambang teksi bermeter lagi rendah daripada tuk tuk.


Tuk tuk and motorbike taxi

Songthaew
Ini kenderaan empat roda yang ada dua tempat duduk (pangkin) di belakang yang biasanya memberikan servis di kawasan perumahan. Tambangnya 7 baht. Tekan loceng sebelum turun.


Teksi Motorsikal
Jika mahu ke destinasi dengan pantas motorbike taxi ni boleh membantu. Pemandu akan memakai fluorescent vest kuning-oren atau vest merah. Disebabkan dia boleh memberikan servis dengan pantas tambangnya juga lebih tinggi. Mereka akan berada di kawasan yang sibuk. Silalah buat tawar-menawar sebelum naik.


Bas 
Bas tempatan dioperasikan oleh Bangkok Mass Transit Authority. Inilah jenis pengangkutan paling murah di Bangkok. Cabarannya, anda perlu tahu ke mana hendak dituju dan dimana hendak berhenti kerana no english. Orang tempatan yang berbahasa Thai boleh 1384 Bus Route Hotline meminta bantuan, foreigner macam mana?



Untuk memudahkan hidup kita boleh gunakan Google's transit planner function di Google Maps untuk merancang perjalanan. Boleh juga gunakan Transit Bangkok. Hotel/guest house pun boleh bantu. FIY dari bus stop depan Bangkok Centre di Hua Lamphong Railway Station tu ke Sampeng Market tambangnya 9 baht sahaja.


Bicycle tours
Menaiki basikal di ialah cara yang menyeronokkan mengembara di kota Bangkok. Nak berbasikal sendiri boleh menggunakan tour guide pun boleh. Berhati-hatilah ya di jalanraya tu.

Project Bangkok Smile Bike ialah projek bersubsidi yang meminjamkan basikal secara percuma hanya dengan gambar passport sahaja. Nak cubalah next time.

Berhampiran Hua Lamphong Railway Station.

2 comments

Berapa ye anggaran Rm yg perlu ditukar kalau just pergi short term, 3 hari contohnya.. duit buat belanja pengangkutan dan makan minum

rm600 cukup kalau stay hotel bajet. Diluar waktu sibuk byk hotel dibawah rm150. Hostel pun ada, pilih private room kalau nak privacy.

I appreciate your comment so let s say something
EmoticonEmoticon

Artikel Terbaru

Google+ Followers

Followers

Ping Blog

Blogged.my

Blogged.my

blogr.my

Auto Ping

Ping your blog, website, or RSS feed for Free