Tempat Menarik Di Singapura | Studio Jalan Ampas (Malay Film Production) Dalam Kenangan | Ada lagi satu tempat menarik yang kita tak patut tak tengok kerana jasanya memberikan hiburan kepada masyarakat 1940an-1960an malah sehingga generasi kini. Studio Jalan Ampas, satu alamat dalam industri perfileman suatu ketika dahulu yang pernah gemilang dengan bintang-bintang filem tershor seperti P. Ramlee, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Nordin Ahmad, Ahmad Nisfu, Saloma, Zaiton, Norlia Ghani, Ruminah Sidek dan ramai lagi.
Pasti ramai yang masih ingat filem Bujang Lapok, Madu Tiga, Ibu Mertua dan banyak lagi yang lekat dalam ingatan dialog-dialognya. Butang baju Melayu aku mana Pahhhh? hahahahah...
Jalan Ampas ialah sebatang jalan pendek sambungan kepada Balestier Road yang menghubungkan Seranggon dan Jalan Thompson. Namanya tidak berubah dan masih wujud mungkin atas alasan sama seperti Bahasa Melayu yang dikekalkan sebagai bahasa rasmi kerana nilai sejarah dua negara.
Semasa
lawatan sehari ke Singapura September tahun lepas kami minta pemandu bawa ke sini. Walaupun tahu studio ini telah ditutup sejak Jun 2017 kami tetap ingin bergambar walau dari luarnya. Kata orang dapat tengok bumbung pun jadilah. Bila dapat mengintai dari luar tu kan rasa gembira dan sedih. Gembira bila satu bangunan bersejarah yang kita biasa tengok dalam tv walau kita belum lahir lagi waktu, dalam filem-filem yang pernah ditonton, sekarang ada depan mata. Sedih kerana ia telah ditutup, tidak tahu apa perancangan masa depannya kerana dan ia telah menjadi hak persendirian. Sayang betul dibiarkan begitu saja. Kini studio ini 'dikepung' oleh apartment.
Studio Malay Film Production di Jalan Ampas adalah permulaan filem di Malaya dan Singapura. Studio ini milik Shaw Brothers yang dikuasai dua beradik Run Run Shaw dan Run Me Shaw dari Hong Kong. Nama Jalan Ampas bersempena ladang tebu di kawasan itu dahulu. "Ampas" diambil dari hampas tebu.
Studio filem ini dibina pada 1947 dibawah nama Malay Film Production yang membuka era kegemilangan industri perfilemena Melayu. Di kemuncak sinarnya antara tahun 1950-1960an, studio ini telah menghasilkan 160 buah filem. Waktu tu wayang adalah hiburan yang paling popular tak kira apa pun status kehidupan. Sesekali akan diadakan wayang pacak di kampung-kampung. Studio ini telah banyak membuka peluang pekerjaan sehingga ada yang berhijrah ke Singapura untuk bekerja di Studio Jalan Ampas. Popularnya ia sehingga Perdana Menteri Malaya Tunku Abdul Rahman pun pernah melawat studio ini.
Gambar-gambar di bawah adalah dari fb Edit Gambar Lama
Kita mungkin ingat lagi babak dalam satu filem yang menunjukkan Studio 8, "Oh, inilah Filem Stadio" dan babak bertemu dengan Singh;
"Tabik Tuan Singh."
"Saya bukan Tuan, saya Jaga".
Hahahah... cite apa eh?
Studio 8 adalah pejabat Shaw Brothers, P. Ramlee & Jamil Sulong. Di sebelahnya Stage A, tempat uji bakat, simpanan pakaian, mekap, memproses filem serta tempat simpanan gulungan (reel) filem.
Studio 9 juga sebagai bilik, bilik menukar kostum dan pakaian pelakon.
Studio 6 & 8 dan Stage D untuk produksi yang lebih besar seperti filem purbawara & kepahlawanan.
Di luar kawasan studio di sekitar Jalan Ampas sendiri letaknya jambatan Madu Tiga dan perkampungan Boon Teck Road yang pernah menjadi kediaman artis-artis di waktu itu.
Selepas menghasilkan lebih 160 filem, era emas perfileman Melayu kian jatuh yang dikatakan sebab filem luar dibawa masuk tanpa kawalan dan akhirnya studio ini ditutup pada 1967. Sebelumnya pada 1960 Shaw Studio telah bergabung dengan Merdeka Film Enterprise di Kuala Lumpur menubuhkan Merdeka Film Studio (kemudian dinamakan semula sebagai Merdeka Film Productions) dan memindahkan kerja perfileman Melayu ke lokasi baharu. Kini yang tinggal hanya empat blok di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar. Syarikat Shaw Studios yang menjadi kuasa besar perfileman Asia sekitar tahun 1930 hingga 1980 kini hanya tinggal kenangan.
Bagaimana Nak Ke Studio Jalan Ampas Menggunakan Kenderaan Awam?
Jika solo aku akan menggunakan public transport je... seronok explore negara orang naik bas MRT jalan kaki, macam-macam kita nampak nanti. Kita start dari MRT Bugis lah ea sebab situkan tempat tumpuan pelancong.
Dari MRT Bugis turun di Outram Park (interchange section) - Punggol.
Dari stesen MRT Punggol naik bas no 142 turun di Toa Payoh Stadium. Dari siti jalan sikit ke kanan masuk taman, melintas expressway guna jejantas, merentas Whampoa River. Kemudian ikut jalan tepi longkang besar sehingga Jalan Ampas.
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.