MALAYSIA 101 EDUTOURISM PACKAGES



MALAYSIA 101 EDUTOURISM PACKAGES | Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Tourism Malaysia melangkah setapak lagi ke dalam usahanya memperkenalkan Malaysia di mata dunia dengan melancarkan Malaysia 101 Edutourism Packages sempena Higher Education Week Malaysia (HEWM2015).
 
Kerjasama strategik ini mendayakan Institusi Pengajian Tinggi Awam untuk menghimpun dan memperkenalkan pakej-pakej pelancongan pendidikan kepada masyarakat umum dan antarabangsa agar lebih terdedah dalam kepelbagaian aspek pendidikan dengan konsep “Bukan Sekadar Segulung Ijazah”, serta memudahkan mereka untuk merancang lawatan sambil belajar di negara ini.
 
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Yang Berbahagia Dato Mary Yap Kain Ching berkata, inisiatif yang julung kalinya diperkenalkan merupakan strategi penting untuk menyediakan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor pelancongan dan kebudayaan, dan Malaysia 101 Edutourism Packages ini merupakan usaha kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengenal pasti dan mengumpul produk-produk Edutourism yang terdapat di Universiti Awam.
 
“Universiti merupakan gedung ilmu yang tiada nilainya, penyelidikan bertaraf antarabangsa juga terdapat di universiti kita. Didalam usaha untuk memasyarakatkan universiti, program Edutourism diwujudkan supaya masyarakat dapat menikmati sistem pendidikan dan hasil penyelidikan. Penghasilan pakej ini amat bersesuaian dan bertepatan dengan Tahun Festival Malaysia 2015 ini di mana Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mensasarkan 29.4 juta pelancong asing ke Malaysia dengan anggaran pendapatan sebanyak RM89 billion manakala bagi pelancong Domestik pula, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mensasarkan kedatangan pelancong domestik sebanyak 63.7 juta pelancong yang dijangka menghasilkan pendapatan kepada negara sebanyak RM43 billion.”
 
Malaysia 101 Edutourism Packages yang ditawarkan oleh beberapa Universiti Awam iaitu UiTM, UPM, UTM, UMS, UMT, UNiMAP, UKM, UM dan UUM diyakini dapat menaiktaraf pelancongan pendidikan negara. Produk-produk pelancongan pendidikan yang lebih berfokus ini berkeupayaan untuk menggamit kunjungan pelancong dari segenap pelosok dunia.
 
Antara pakej Edutourism yang dilancarkan termasuklah Escape To Nature, Smart Little Professor, Endless Discovery, UiTM Dark Tour, Island Treasure, One Day as a Farmer, Chini Dragon Adventure, Green Cycling @ Rimba Ilmu dan Golf Lessons and Clinic for Beginners. Kesemua pakej ini telah berjaya dibukukan hasil kepakaran Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dalam usaha merangka pembangunan pakej pelancongan pendidikan ini, Tourism Malaysia telah menjalankan lawatan produk ke 9 buah universiti tempatan bersama 20 agensi pelancongan, disamping mengadakan bengkel pembangunan pakej di universiti-universiti terbabit. Hasil dari usaha ini, sebanyak 149 pakej pelancongan telah berjaya dibangunkan dan dibukukan menjadi Malaysia 101 Edutourism Packages.



 

 
 

 

 

Post a Comment

0 Comments