Recents in Beach

header ads

Homestay Popular | Budaya Bidayuh di Kampung Mongkos

Homestay Popular | Budaya Bidayuh di Kampung Mongkos | Kata pepatah jauh berjalan luas pengalaman sungguh jelas kebenarannya. Mana mungkin kita mengetahui kehidupan masyarakat lain jika sekadar berada di pejabat atau di rumah. Mana mungkin kita mampu 'melihat' jika sekadar memandang sahaja. Who lives sees, who travel sees more.

Menyambung program Jom Jelajah Koperasi Sarawak 2015, dari Homestay Kampung Melayu Tebakang kami ke sebuah lagi koperasi di Serian iaitu Homestay Kampung Mongkos. Perkampungan ini letaknya hanya sejauh 2.5km dari Tebedu, sempadan Malaysia-Indonesia di Borneo. Jika tahun lepas aku berkesempatan melawat rumah panjang Iban di Sarikei, kali ini ke perkampungan kaum Bidayuh yang letaknya sekitar 65km dari Kuching dan 15 minit pemanduan dari pekan Serian.
 

KAUM BIDAYUH
Kaum Bidayuh adalah etnik yang mendiami kawasan barat daya Sarawak, terutamanya Bahagian Serian, Kuching dan di barat Kalimantan. Mereka terdiri daripada empat pecahan etnik iaitu:
  • Selakau/Lara (Daerah Lundu)
  • Jagoi/ Singai (Daerah Bau)
  • Biatah (Daerah Kecil Padawan)
  • Bukar/ Sadong (Daerah Serian)
Kaum Bidayuh ialah salah satu daripada 27 etnik yang terdapat di Sarawak dan merupakan kaum keempat terbesar selepas Iban, Cina dan Melayu yang merangkumi 8% pecahan kaum di Bumi Kenyalang. Mengikut bancian tahun 2010 jumlah mereka ini adalah seramai 198,473 orang.

Walaupun kaum Bidayuh bukan etnik yang terbesar jumlahnya di Sarawak tetapi mereka mempunyai dialek yang banyak, dikatakan setiap 10km dialek mereka berbeza. Bahasanya agak unik berdasarkan sebutan, pertuturan, gerak gaya dan alunan yang dipertuturkan. Lazimnya bahasa Bidayuh akan berubah intonasi dan bahasa mengikut kampung dan daerah tertentu. Ini menyebabkan suku kaum ini sukar untuk berkomunikasi antara satu sama lain sekiranya mereka dari suku dan daerah yang berlainan.

Muzik memainkan peranan yang penting dalam setiap upacara keagamaan yang mereka jalankan. Ia  berperanan menaikkan semangat, mengusir roh jahat dan sebagai pententeram kepada semangat roh. Motif sesuatu upacara yang dijalankan juga dapat dikenalpasti melalui muzik yang dimainkan. Umumnya, muzik tradisional masyarakat Bidayuh terdiri daripada sepasang gong besar, Canang, Gendang dan Tawak (sejenis gong kecil).

Kebanyakan penduduk Kampung Mongkos masih menyara diri melalui hasil pertanian. Mereka bertanam padi, sayuran, lada hitam dan kelapa sawit. Ada juga yang bekerja di jabatan kerajaan di Kuching.

Lada hitam yang dijemur.
RUMAH PANJANG BIDAYUH
Rumah panjang Kampung Mongkos ini berada di tengah-tengah kampung baru yang berkembang setelah rumah panjang sedia ada tidak lagi mampu untuk menampung pertambahan penghuninya. Ia masih berfungsi sebagai kediaman dan dijaga rapi.

Bagi tujuan keselamatan lazimnya rumah panjang masyarakat Bidayuh terletak jauh di kawasan pendalaman dan tanah tinggi supaya sukar untuk dikesan oleh musuh. Kini kebanyakan generasi muda telah berhijrah ke bandar diatas faktor ekonomi dan pendidikan yang mereka terima. Tambahan pula bandar Kuching yang menjadi ibu negeri Sarawak tidaklah terlalu jauh. Namun tradisional long house masih dikekalkan kerana ada yang masih selesa dengannya.

Kayu belian digunakan dalam pembinaan struktur utama rumah panjang diatas faktor kekuatan dan ketahanan manakala buluh kering digunakan untuk membuat lantai. Rumah panjang ini adalah 483 kaki panjang, dan terdiri daripada 24 buah rumah berderetan untuk 24 keluarga.

Rumah panjang Bidayuh terbahagi kepada 3 bahagian iaitu bilik utama, awah dan tanju dengan fungsi masing-masing. Ia kelihatan hampir sama seperti Rumah Panjang Iban di Sarikei.

'Bilik utama' merupakan ruang utama kediaman. Di dalam bilik ini masyarakat Bidayuh lazimnya meletakkan barang-barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka seperti gong, tempayan, tembikar dan sebagainya. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur di malam hari.

'Awah' pula adalah bahagian pelantar rumah panjang yang lazimnya bertutup dan beratap. Ia dapatlah disamakan dengan berandah rumah pada masa ini. Ia tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti menganyam, berbual, membuat peralatan bertani dan sebagainya. Ruangan Awah juga akan digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, istiadat dan pesta-pesta tertentu seperti pesta gawai.

'Tanju' pula adalah bahagian terluar rumah panjang agak terdedah dan lazimnya ia tidak bertutup mahupun beratap. Tanju lazimnya digunakan untuk menjemur hasil tuaian masyarakat Bidayuh seperti padi, lada hitam, jagung dan sebagainya.

Nota:
'Awah' ini pulah terbahagi kepada tiga bahagian lagi. Bahagian yang paling ke luar ialah tempat duduk dan berbaring para tetamu. Bahagian tengah tempat menari ketika perayaan dan bahagian yang berkayu keras berhadapan unit masing-masing tempat meletakkan bahan mentah.

Bahagian dapur rumah panjang di Kampung Mongkos kini diperbuat daripada batu-bata selain dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air paip. Terdapat juga rumah panjang Bidayuh yang lain di Sarawak seperti Kampung Benuk dan Kampung Annah Rais.

Kini rumah panjang menjadi produk pelancongan yang digemari oleh pelancong asing setelah dipakejkan dengan aktiviti menarik seperti menari tarian tradisional, mandi-manda di air terjun Silungkung (kena trekking 45 minit sambil melihat flora dan fauna), memetik lada hitam serta sayuran dan belajar membuat kraftangan.

Untuk mengetahui tentang rumah panjang masyarakat Bidayuh Muslim sila baca di sini.


ADAT MEYAMBUT TETAMU
Kehadiran kami disambut dengan berbesar hati oleh tuai rumah dan penduduk kampung dengan melaksanakan tradisi turun-temurun mereka. Ketua rombongan diminta untuk memecahkan telur di dalam bekas yang disediakan lalu kami semua bersalaman dengan para penghuni  yang berbaris panjang di "awah".

Sewaktu kedatangan kami ramai kaum petani sedang berada di ladang untuk menyiapkan tapak pertanian mereka bagi musim bercucuk-tanam yang baru.



Ketua rombongan kami disambut dengan memecahkan sebiji telur ayam di dalam bekas
 Sumber www.projektravel.com



Setelah ucapan alu-aluan dilakukan oleh pengerusi homestay, Encik Sulang a/l Manggang, kami disajikan dengan persembahan tarian oleh kanak-kanak yang sungguh berbakat. Paling seronoknya semasa kami dijemput menari tarian buluh ...best giler! sampai tersepit kaki hahha... Dulunya mereka menggunakan kayu keras dalam tarian ini tapi sekarang digantikan dengan buluh sebab buluh lebih ringan dan tidak menyakitkan.

Kanak-kanak ni menari sampai darjah 5 saja, darjah 6 fokus kepada UPSR. Bagusnya ko nak, the boys aku relax je walau esok nak periksa.

Upacara tarian tradisional masyarakat Bidayuh


Setelah itu kami dijamu makanan tradisional seperti nasi yang dimasak dalam buluh, ayam pansuh, sagu yang dimasak dalam buluh kecil hingga menghasilkan satu long stick yang agak liat. Rupanya seperti gam panjang yang kita gunakan dengan 'pistol' tu tetapi berwarna merah pudar dan semi-transparent. Payahnya nak bercerita bila gambar tak boleh transfer dari handphone ni grrr....

Kimu'o pula adalah nasi yang dimasak di dalam periuk kera. Oleh kerana sewaktu kami tiba adalah musim panas jadi tiada stok periuk kera. Kera je ada hahaha...

Okaylah, kalau berminat untuk merasa tinggal bersama masyarakat Bidayuh di Homestay Kampung Mongkos, pakej 2 hari 1 malam bermula daripada RM120 seorang. Hostel juga disediakan. Silalah berhubung dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia ya.
  
Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sarawak 
Daerah Serian Lot 938 
Serian Town Land District 
94700 Serian
Sarawak
Tel : 082-874263
Faks: 082-875780


Bagaimana untuk ke Homestay Kampung Mongkos?

Dari Kuching, boleh naik van sewa berwarna kuning dari Electra House dengan tambang RM15 seorang. Boleh juga naik bas dari pekan Serian.

Nak senang, sewa kereta dari Kuching yang dikira per hari. Jimat.



Program "Jom Jelajah Koperasi Sarawak"  adalah anjuran bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Gaya Travel Magazine bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosi produk serta perkhidmatan koperasi kepada masyarakat agar lebih dikenali ramai.

Post a Comment

0 Comments