8D 7N in Marvelous Myanmar | Bagan - Kalaw - Inle Lake

8D 7N in Marvelous Myanmar | Bagan - Kalaw - Inle Lake | Selesai di Bagan, kami menuju ke Inle Lake tetapi berhenti untuk makan tengahari di Kalaw.

Dalam perjalanan panjang ini kami berhenti sekali lagi di sebuah stesen minyak besar di Hein. Alaa... yang ada tandas terbuka di belakang tu heheheh.... Kawasan ini di luar Kyauk Pa Daung. Kemain lagi memasing shopping air dan kerepek. Masa first singgah hari tu baru bangun tidur jadi semua menuju ke toilet je.

Di beberapa tempat sedang dijalankan projek pembesaran jalan. Jika di negara kita semua kerja kasar mengorek tanah dan mengeluarkan batu dilakukan jengkaut, di sini banyak yang masih manual. Ya Allah, terasa diri dibawa mengundur ke belakang. Susahnya orang-orang terdahulu bekerja.... bebetul menggunakan tulang empat kerat mencari rezeki buat keluarga. Tar jalan pun gunakan penapis. Insaf sekejap. Pekerjanya pula lelaki dan wanita tua serta muda yang masih cantik. Bayangkanlah uwan atuk mak ayah kita dulu bekerja begini. Di kawasan tertentu ternampak juga mesin pemecah batu manual untuk dijadikan batu kerikil.

Dari dalam bas kawasan kering dengan lalang berwarna perang, pokok yang meranting, pokok berbunga merah sangat cantik dipandangan mata. Mengembara di negara orang ranting pun nampak cantik 😀. Sungguh! Dengan langit biru tak berawannya... Manakala di kawasan lain pula ada beberapa ladang bunga matahari yang tak berapa besar. Menurut TG kami Win Ko, ada ladang yang lebih luas on the way ke Pindaya.

Di waktu pagi para sami akan berjalan dari satu tempat ke satu tempat untuk menerima sumbangan makanan. In Buddhism, giving of alms is the beginning of one's journey to Nirvana.




Pukul 11.30 pagi kami lalu di pekan sibuk Meiktila. Menurut TG kami before 2010 there was no capital road so mana mana kenderaan yang nak ke selatan negeri Shan seperti Yangon, Inle, Bagan kena melalui persimpangan di Meiktila. No short cut at that time. Kebetulan hari tersebut ialah hari terakhir exam jadi ada lah nampak bebudak yang dah balik dari sekolah. Kebanyakan pelajar berjalan kaki. Tak ramai yang berbasikal apatah lagi dijemput parents. Yang menunggang basikal ke sekolah tu pun nampak macam anak orang have have. Mungkin situasi di Yangon berbeza sebab taraf sosio ekonomi yang berbeza juga.

Di Myanmar sekolah satu sesi bermula jam 9 pagi-3 petang. Yang dua sesi pula samada 7-12 tengahari atau 12.30-5.30 petang. Pertengahan Februari hingga penghujung Mei cuti semester - summer holiday. Faham faham sendirilah cemana ramainya orang di kawasan pelancongan. Rakyatnya 54 juta oih! Tolak yang beratus ribu di Malaysia, masih berpuluh juta lagi tinggal di sana.

Pekan Meiktila.

Mujur anak-anak bujang ai reti pakai kain pelekat. Tiga yang kecil selalu pakai memalam, kekadang pegi makan di luar dan mengaji pun berkain aje. Maknya saja yang jarang berkain batik.

Aku pernah merasa berjalan kaki pergi dan balik sekolah di Kg Haji Baki dulu. Masa tu takde rasa takut, mak ayah pun senang hati lepaskan anak. 

Ada beberapa universiti dan kolej di sini. Student U ramai yang dah diresapi kemodenan, secara amnya rakyat biasa, pekerja kerajaan atau swasta dan pelajar sekolah masih memakai pakaian kebangsaan mereka, longyi. Pelajar sekolah memakai longyi hijau. Nampak seragam je semua. Sebelum revolusi pelajar besar-besaran dulu, di Myanmar hanya ada Yangon University.

Dari Yemape jalan dah mula bengkang-bengkok naik ke kawasan pergunungan. Jalan ini lagi banyak bengkokan berbanding naik ke Mount Popa hari tu. Dulu British buat jalan yang muat satu jip saja melaluinya sebab tiada bas waktu tu. Mereka hendakkan tempat sejuk sebagai lokasi istirehat, tak tahan dengan cuaca yang panaih lit lit di Yangon. Sesungguhnya hendakkan benda cantik, berkualiti atau kawasan yang best seringkali harus menghadapi dugaan dulu. Aku memula tu ada rasa riak sikit. Ala... dulu selalu lalu Bukit Putus ok jer... riak! Lama kelamaan mula rasa loya terus tutup mata hahah..

Kalaw ni 273km dari Bagan dan 50km dari barat Inle Lake. Perjalanan ke sini 7 jam termasuk dua kali "pee stop". Kalaw berada pada kedudukan 1320 dari paras laut di negeri Shan,  Inle dibawahnya digelar "sea of a mountain" kerana turut berada di tempat tinggi. Erghh... Myanmar panas walaupun bukan di musim panas tetapi ada tempat-tempat sejuk yang cantik. Sekarang ni pun suhu tengahari di Kalaw 22C sahaja. Sejuk-nyaman-tenang.

Kalaw masih mengekalkan bangunan kolonial British. Ia lebih dikenali sebagai Myanmar Tekking Mecca di kalangan penggemar outdoor activities. Yang suka trekking dan hiking tu elok try di sini pula. Ada banyak pakej ditawarkan, nak yang sehari atau trek bermalam ke Danu, Danaw, Palaung, Pa-O, Intha, Shan village dan Taung Yo villages.

Tempat yang paling happening di sini ialah Kalaw Market. Banyak restoran, tempat lepak dan hotel bajet di sekitarnya. Ramai Gurkha Nepal dan India yang asalnya dulu bekerja membuat jalan dan landasan keretapi dengan British berada di Kalaw. Samalah di mana-mana negara jajahan British... education and technology wise Britain secara amnya kan kekal lebih maju daripada kita hingga ke hari ini. Dua golongan ini juga ramai yang berniaga makanan, membawa makanan tradisi mereka untuk melengkapkan hidangan Myanmar di sana. Contohnya Everest Nepali Food Center makanan asli Nepal dengan pilihan makanan vegetarian yang banyak. Ya Rabbi sambal bawang dan cili goreng punyalah sedap siap minta tambah 😁😁. Terasa kenyang betul makan nasi tengahari petang tu.


Di hadapan Everest Nepali Food Centre. Banyak syarikat yang mengiklankan aktiviti hiking dan trekking di sini.

Masjid di Kalaw.

Terhenti sekejap sebab ada aktiviti mengebom batu.
Masa nak naik bas baru ternampak ada sebuah masjid berdekatan. Menyesal lepak lelama, kalau tahu awal boleh solat di sana. Bila ada masjid sahlah ramai muslim di sini jadi mendapatkan makanan halal pastinya bukan masalah besar. Bagus bagus...malas aku nak memunggah segala makanan kering dari rumah.

Di penghujung Oktober atau awal November ada Tazaungman Full Moon Festival di Kalaw. Jika berhasrat nak tengok adjust bebetul your travel time.


Bagaimana untuk ke Kalaw dari Bagan?
1) Penerbangan domestik.
Turun di Heho Airport. Kecik je airport ni, 26km dari Kalaw. Perjalanan ke Kalaw akan mengambil masa kira-kira sejam menggunakan teksi dengan tambang 45,000 kyat. Nak murah sikit naik pick-up truck atau bas tetapi kena naik dari pekan Heho, 3km dari Heho Airport. Kalau ada banyak masa I lebih suka yang ini. Selalunya pengalaman yang best kita dapat daripada slow travel.

2) Bas
Ada bas bertolak pukul 7.30 pagi dan tiba di Kalaw jam 3 petang. Perjalanan 10 jam dengan tambang 11,000 kyat. Bas VIP selesa dengan recling seat dan leg rest.

3) Keretapi
I love train ride! (itupun kalau tak lama sangatlah). Naik keretapi memacam dapat dipandang dan dipelajari. Datang awal ke stesen keretapi sebab tiket tak payah beli advance.

Train dari Heho ke Kalaw pukul 9 pagi. Kalau terlepas naik je teksi/bas/trak ke sana.

Train dari Yangon bergerak jam 11 pagi dengan perjalanan selama 26 jam termasuk 5 jam berhenti di Thazi. Train akan bergerak dari Thazi jam 7 pagi dan sampai di Kalaw 1.15 petang. Kalau bercuti dua minggu hanya di Bagan-Inle Lake saja bolehlah buat gini kot. Tambang pun jauh lebih murah, 3550 kyat aje.


Sambung lagi...

Dari Kalaw ke Inle lagi 2 jam menaiki bas. Lama juga maklumlah naik bas... kalau naik kereta lain cerita. Menariknya di sini lapangan terbang dan stesen keretapi di tanah tinggi. Ada landasan di tepi gunung, ada yang perlu melalui jambatan macam laluan Bandung-Jakarta tu.

Masuk je ke Inle Zone setiap pelancong yang berumur lima tahun ke atas dikenakan yuran masuk sebanyak 13,500 kyat, yang mesti dibayar di Inle Zone Entrance Fee Gate di Nyaung Shwe. Tiket yang dikeluarkan boleh digunakan selama lima hari. Samalah macam di Bagan tu. Sepanjang perjalanan ke sini nampak gunung dan tasik tetapi bukan Tasik Inle, dan reflections rumah di permukaan tasik/terusan/longkang besar pula sangat cantik. Sayangnya bas tak boleh berhenti sesuka hati. Kalau naik private van memang kena buat photo stop ni.



Sebelum sampai ke Aureum Palace Resort and Spa, Inle, kami singgah minum petang di A Little Tree House Restaurant. Ahh sedap betul air strawberry + susu segar tu. Aku memang sukalah benda gituh. Selain restaurant on a tree, di sini juga mereka ada spa dan boutique accomodation. Mereka juga menenun kain untuk jualan dan bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri. Restoran baru dua bulan beroperasi. Very relaxing lah, berangin je dengan pemandangan indah gunung dan ladang. Indah sungguh hidup kalau hang tak takut pada ketinggian hehehhe... Di simpang nak masuk ke A Little Tree House Restaurant tu ada satu kiosk. Aku ingatkan jual top-up atau rokok rupa rupanya jual sireh. Bagus betul bisnes sirih berkapur pinang di Myanmar ni.

Duduk bersembang sambil minum air stroberi dengan pipi ditampar angin sepoi sepoi bahasa. 

A Little Tree House Restaurant

Kami tiba di resort awal malam. Sejuknya lahaiiii...5C! Itulah kan, kalau  teringin apa apa mintalah pada tuhan. Macam aku tahun lepas nak sangat pergi ke tempat sejuk sekali Allah bagi tiga bulan berturut- Disember ke Chiang Mai, Januari ke Da Nang, Februari ke Myanmar. Alhamdulillah. Mac? Mereput kat rumah hahahahah... belum mampu main salji lagi. Partner bilik masih dikekalkan. Aku stay dengan @lilyriani , bagus dia ni sentiasa bawa beg Doraemon. Sebut aje nak apa semua ada 😄😉

Perjalanan hari ini sahaja 385km. Tempat baru pengalaman pertama jadi sentiasa rasa exited. Esoknya kami explore Inle Lake. MasyaAllah luas dan cantiknya! Nanti ai cerita lain ya, kang panjang sangat pula blogpost ni.


Bagaimana untuk ke Inle Lake?
Jika mahu ke Inle Lake menaiki keretapi dari Kalaw, sila turun di Shwenyaung. Jauhnya 50km je tapi perjalanannya 3 1/2 jam. Kelas biasa USD1, upper class USD3. Murah kan?

Lepas tu sila naik teksi atau local truck (trak pikap) dan kita akan diturnkan di Nyaungshwe Market. Tambang trak tu 1,000 kyat tai kena tunggu penuh. Teksi caj 10,000 kyat manakala tuktuk tiga roda 3,000 kyat. Kereta kuda untuk membawa barang pun ada.


Jemput baca juga blogpost lain mngenai trip Myanmar ini. Tq. 



















Why our Airport Coach is like this aa..?

Why our Airport Coach is like this aa..? | Hari ni ai nak membebel.  Dah lama pendam ni.

Sebagai pengguna regular bas ke/dari KLIA/KLIA2 aku nak tahu mengapa bas dengan interior seperti di bawah digunakan? Nampak tak kekurangannya? Ada beberapa soalan nak ditanya:

1) Mengapa bas sekarang (bukan yang ini saja) tak banyak tempat duduk?
Aku ambil gambar dari bahagian atas. Di seksyen ini rasanya ada 9 atau 11 tempat duduk. Di bawah tu ada 10 dengan seat yang agak sempit. Ambil kiralah rakyat Malaysia ni terobes di Asia Tenggara.


2) Mengapa tempat letak beg tinggi 'atas langit'? 
Tu... di belakang lelaki berbaju hitam. So inconvenient untuk penumpang yang bersaiz comel seperti aku ni ha. Ingat beg dari Bandung/Jakarta/Ho Chi Minh ringan ke? 😂😂 Kalau kita bawa ke tempat duduk mengganggu orang lain pula. 

3) Mengapa tempat duduk di seksyen bawah terlalu rendah?
Cuba perhatikan penumpang bertudung pink tu. Perasan tak paras mata dia kat mana? Samalah macam aku. Kita ni yang dah biasa pun terpaksa panjangkan leher terjenguk-jenguk ke luar. Yang nak turun di KTM Nilai okaylah sebab final stop, bagaimana pula yang mahu turun di taman-taman di pertengahan jalan? Again, inconvenient!

Ini bas ke/dari lapangan terbang ya, rasanya kurang sesuai. Walaupun ramai locals yang menggunakannya but still there are some tourists too. Kurang sesuai.

Selain Airport Coach aku juga kerap menggunakan Airport Express Bus dari/ke Seremban. Aku tak pasti bagaimana sistem penjualan tiket mereka cuma nak tahu...

1) Mengapa ada sekali tu bila ditanya availability tiket ke Seremban di kaunter jualan KLIA2, mereka kata dah habis but soon after bas lalu dan bas tu tak penuh pun. Tak pernah lagi selama aku naik bas penuh. Dahlah basnya dua jam sekali terpaksalah naik bas di ↑↑, turun di Nilai dan naik KTM Komuter pula ke Seremban. Jenuh juga nak balik Seremban ni. 

2) Mengapa di booking site tak mention awal awal FREE SEATING? Takdelah orang suruh kita bangun sebab dia dah book tempat tu. Driver pun suruh duduk memana kita suka walaupun orang yang dah book tak suka. Tahpape.

3) Kenapa tak tag beg yang letak di compartment bawah? 
Bukan semua penumpang turun di Seremban. Cuak jugalah nak tidur bagi yang meneruskan perjalanan ke Johor. 

Pengalaman aku naik BAS BIASA dari Pattaya ke Bangkok, setiap beg ditag. Satu nombor diberi kepada penumpang dan satu lagi digantung pada bag. Bila kita turun pemandu/konduktor akan turun sekali tolong keluarkan bag sambil semak nombor beg kita. Beringat sebelum kena kekdahnya.

4) Kenapa tak bantu penumpang keluarkan beg?
Common sense la... terutama pada golongan yang kurang upaya seperti orang tua dan penumpang yang membawa dua tiga beg. Help them please!


Apa apa pun so far driver bas berhemah semasa menjalankan tugas. Tahniah!


P/s Janganlah suruh aku naik teksi pula ya. Know your rights, jangan tolak masalah ke bawah karpet.



8D 7N in Marvelous Myanmar | Menjelajah kota purba Bagan

8D 7N in Marvelous Myanmar | Menjelajah kota purba Bagan | Nak tahu mengapa aku pernah berimpian ke Myanmar? Salah satu sebabnya ialah mahu melihat ribuan kuil di bandar purba Bagan yang dibina sejak ribuan tahun dulu yang sebahagiannya masih utuh sehinggalah berlakunya gempa bumi 6.8 skala Richter pada 24 Ogos 2016.


Bagan atau nama lamanya Aring Madana Pura  (bermaksud hero land) diiktiraf sebagai UNESCO Archeological Zone dan menjadi tarikan utama ke Myanmar. Tiada tempat lain yang sama sepertinya tetapi tidak diiktraf sebagai UNESCO World Heritage Site dikatakan atas beberapa sebab seperti pembinaan padang golf, menara moden dan penggunaan bahan terkini untuk membaiki kerosakan kuil dan pagoda. Yang pastinya pihak berkuasa di sana masih berusaha untuk mendapatkannya untuk bahagian tertentu. Masih banyak lagi artifak asli di atas tanah seluas 13 x 8km ini. Bukan senang untuk mendapatkan dan maintain recognition bila dah diberi. Teknologi melekatkan batu di zaman dahulu menggunakan getah pokok atau putih telur, masalahnya sekarang pokok tu ada lagi ke? Bagaimana pula cara melekatkannya, nak dibiarkan kering dulu 10 minit macam gam kasut atau terus dilekatkan macam gam two second tu? Banyak soalan 4H 1W yang perlu dijawab.

Bagan (ပုဂံ) ialah kota purba yang berada di negeri Mandalay, pernah menjadi ibu negeri Pagan Kingdom pada kurun ke-9 hingga 13. Sewaktu kemasyhuran empayar Pagan ini diantara kurun ke-11 hingga 13, lebih daripada 10,000 kuil, pagoda dan biara di bumi Bagan ini sahaja. Kini hanya kira-kira 2,200 sahaja yang tinggal, masih dikira banyak dalam satu satu tempat.

Aku selalu tertanya, kenapa eh bina temples and stupas bebanyak ni?

Sebenarnya setiap satunya mempunyai rekabentuk serta cerita tersendiri dan kita bebas untuk explore memana yang kita suka. Cuma kena ingat, semenjak November 2017 sesiapapun TIDAK DIBENARKAN memanjat kuil lagi. Adakah sebab preservation atau takut bangunan tersebut runtuh, kita tak dimaklumkan. Yang kita perlu ingat tak boleh lagi naik ke temples untuk melihat sunrise atau sunset.


Melihat matahari terbit tanpa jemu
Sesungguhnya bersyukurlah bila kita masih diizinkanNya untuk menyaksikan terbitnya matahari di keesokan hari. Melihatnya dari lokasi yang indah lagilah kena besar rasa bersyukur tu.

Pagi kedua, aku naik ke Aureum Viewing Tower di Aureum Hotel & Resort Bagan. As an in-house guest dapatlah ke menara tu dengan percuma, outsiders kena bayar USD5. Beberapa orang kengkawan lain sewa e-bike pergi ke satu tempat di tengah Old Bagan. Owh cantik juga gambar mereka berlatar belakangkan belon panas tu. Sebab itulah aku cadangkan stay at least 3 hari 2 malam di Bagan untuk melihat sunrise dan sunset dari lokasi berbeza. Kat tempat kita belon panas ni ada setahun sekali je...itupun diikat dengan tali.


Bila naik je matahari api belon panas pun dihidupkan. Seronok melihat hot air balloon tu naik satu persatu dari dua lokasi berbeza. Dua syarikat pengendali belon panas ni; Balloon Over Bagan dan Oriental Ballooning. Harga pun berbeza, classic service yang 12-16 passenger USD340-360, permium service USD399-470. Book dengan ejenlah murah sikit. Dengarnya boleh dapat diskaun usd50-100 jugalah. 

Kesemua pilot dari kedua-dua syarikat dilatih di luar negara. Mereka ni bukan duduk setempat, bila tamat musim mereka akan beredar ke negara lain. Di Bagan, musim belon panas terbang adalah diantara pertengahan Oktober hingga pertengahan Mac tetapi penerbangan di bulan Oktober chances untuk dibatalkan tu agak tinggi jugalah 50-50 disebabkan cuaca. Yang bagusnya book between December to February. Masa tu anginnya lebih tenang dan udara pun sejuk. Sebelum menempah tiket tu tanya bebetul syarikat refund tak kalau penerbangan cancel disebabkan cuaca?

Waduh waduhhh... indahnya pemandangan! Kalau cerita beriya pun takkan sama dengan melihatnya sendiri 😈😈. Dapat tengok pun dah suka kalau dapat naik laaaagilah kan?

Tak nampak pula bilik iols dekat swimming pool tu ha.... besar biliknya. Harga bilik dari USD105 per night. Boleh book di Agoda.


Balloon Over Bagan ada 15 buah. Semua terbang pada hari tersebut.



Mungkin disebabkan pemandangan berbeza yang ditawarkan kos menaiki belon panas di sini tinggi . Bayangkanlah terbang di atas kota purba ketika cahaya keemasan matahari naik dengan hamparan kabus putih tu... fuhhh...! Kalau dapat shoot video dengan drone masa kita terbang tu lagi best.


Industri "laquerware" di Bagan
Maksud perkataan lacquer ialah melapisi dan mengilatkan dengan laker. Banyak pengusaha lacquerware di Bagan kerana terdapat permintaan yang tinggi. Produk ini dikatakan berasal dari China sebelum dibawa ke Myanmar dan kini memiliki corak dan identiti tersendiri. Bermacam produk dihasilkan dari sekecil-kecil objek yang boleh dibawa tangan, perhiasan meja sehinggalah sebesar perabut dan keranda. 

Bahan asas bagi pembuatan laquerware ialah buluh. Ada juga yang menggunakan rambut kuda yang panjang tu. Buluh yang dibawa dari Chin state itu dijadikan helaian, dilembutkan dan kemudian dibentuk menjadi objek yang dikehendaki. Lapisan lacquer dibuat sehingga lapan kali, memang proses yang tedious. Menengok pun rasa ermm... takdelah aku nak kerja kat sini heheh..

Proses step by step untuk menghasilkan lacquerware ialah: 
1) membentuk objek dengan buluh/rambut kuda
2) lacquering menggunakan jari
3) pengeringan selama seminggu
4) pencucian, kemudian gosok dengan kertas pasir/abu kayu
5) pengilatan
6) mengukir tanpa draf!



Modal insan. They are highly talented carvers. Free hand!



Contoh barangan. Kat galeri ada banyak jenis lai tetapi tak boleh ambil gambar.



Kerja-kerja melapis dengan laker→pengeringan dibuat berkali-kali untuk menghasilkan perhiasan yang berkualiti dan tahan lama. And ohmai, betapa hebatnya pekerja yang sebaya anak remaja aku boleh mengukir free hand aje, takde gambar takde draf terus keluar dari kepala. 

Lacquer tertua dijumpai di pagoda Mingalazedi, pagoda yang dibina di kurun ke-13. Kiranya kumpulan pagoda kuno terakhirlah. 

Mya Thit Sar
Lacquerware Workshop
Myin Ka Pa
Bagan, Myanmar
Emel: kttmyathitsar@gmail.com


Lawatan ke pagoda dan kuil purba Bagan
Lihatlah untuk mengetahui. Lihatlah untuk mempelajari sesuatu.

Shwezigon Pagoda or Shwezigon Paya ialah sebuah kuil Buddha di Nyaung-U yang terdapat padanya sebuah stupa bulat dengan hiasa daun emas dan dikelilingi oleh kuil-kuil kecil. Pagoda ini dibina sewaktu pemerintahan King Anawrahta (1044-77) yang memulakan Dinasti Pagan. Pagoda ini siap dibina pada 1102M ketika pemerintahan anaknya King Kyansittha.

Kerosakan yang dialami oleh pagoda ini akibat gempa bumi beberapa kali telah diperbaiki tetapi bahagian bawah sekali masih dikekalkan keasliannya. 30,000 plat tembaga telah digunakan dalam renovasi terakhirnya.

Di kawasan ini terdapat tiang (pillar) yang bertulis inskripsi dalam bahasa Mon yang didedikasikan oleh King Kyansittha.

Shwezigon Pagoda









Ketua kumpulan kata, "masuk dalam temple dulu...karang baru shopping!" hahaha...memasing pantang jumpa kedai.

Dhammayangyi Temple

Dhammayangyi Temple juga kuil Buddha. Ia merupakan kuil terbesar di Bagan dan dari jauh kita akan nampak ia seperti piramid Mesir.

Ia dibina sewaktu pemerintahan King Narathu (1167-1170). King Narathu ni naik takhta dengan membunuh bapanya Alaungsithu dan abangnya. Cerita zaman berzaman, kuil ini dibina sebagai menebus kesalahannya membunuh ahli keluarga sendiri. Lambat sangat turn nak jadi sultan jadi dia bunuh ayahanda dan Tengku Mahkotanya. People makes mistakes, sometimes BIG one.

Panjang dasarnya hampir 78 meter manakala bahagian tengahnya 25 meter dan dibina enam tingkat yang semakin mengecil ke atas. Empat pintu masuk dengan setiap satunya duduk satu patung Buddha. Pintu masuk utamanya di timur. Sikhara, sebuah struktur seperti menara di atas Dhamayangyi  Temple yang didatangkan dari India dah runtuh. Sekelilingnya dibuat binaan pagar batu dengan pintu gerbang tinggi.

Kuil ini belum siap sepenuhnya sehingga kini. Pelan binaan sama seperti kuil Ananda - yang akan ku ceritakan selepas ini. Sewaktu kuil still under construction King Narathu dibunuh oleh penceroboh Sinhalese.

Orang cerita King Narathu ni 'ganas' jugalah. Pekerja yang sambil lewa akan dipotong tangan atau dibunuh kalau kerja tak precise.

Yang pakai turban tu kaum Pa-o, salah satu daripada 135 kumpulan etnik di Myanmar.

Kita promote batik haa... Puas menunggu line clear kat belakang tu. 

Bayang dua pokok tu sangat cantik tetapi malangnya takde tangga yang nak dipanjat untuk shoot dari atas.


Ananda Phaya

Salah satu daripada kuil besar di Bagan yang dibina pada 1105M sewaktu pemerintahan King Kyanzittha (1084-1113M) dari Dinasti Pagan.

Bentuk asasnya macam shape cross dengan beberapa laluan membawa ke pagoda kecil. Atasnya dihias dengan hti sepertimana kebanyakan pagoda di Myanmar. Ada empat Buddha berdiri menghadap utara, selatan, timur dan barat. Digelar "Westminter Abbey of Burma", ia campuran senibina Mon dengan pengaruh India.

Ia telah dibaikpulih sepenuhnya setelah rosak akibat gempa bumi tahun 1975. Ananda Temple dianggap kuil yang paling dihormati (suci) di Bagan.




Bila bola takraw lagi 😀. Semasa di Bogyoke Market hari tu bila ternampak je bola takraw terus teringat kat kata-kata anak. Dia tanya, "boleh tak mama derma bola takraw untuk team sekolah kita?". Yang kat sini dapat 3000 kyat.


Bagan itu sesungguhnya sangat unik! Lepas ni kami ke Inle Lake (row row row your boat!). Jemput baca nanti eh 💖💪😊









8D 7N in Marvelous Myanmar | Sunrise in Bagan is so A-M-A-Z-I-N-G !

8D 7N in Marvelous Myanmar | Sunrise in Bagan is so A-M-A-Z-I-N-G ! Kami bertolak seawal 5.15 pagi untuk di bawa ke lokasi melihat matahari terbit. Sejuk pepagi di Bagan ni.

Kami dibahagikan kepada dua kumpulan- satu kumpulan menunggang kuda, satu kumpulan lagi dibawa ke satu platform di Nyaung Leped Kan untuk melihat matahari terbit. Masa tu belum ramai lagi orang yang datang so memasing cari port dulu bimbang pandangan kena block macam di Bromo dulu. Aku kena ikut team media sebab gemuk katanya kuda tokleh angkut 😕😢😢 adeh terasa ai.

Tapi takpelah, bila tengok matahari naik tu kan rasa puas hati sangat. Cantiknya lahaiii... dari kelam ke pink ke oren. Bila warna pink/purple tu naik ingatkan dah tamat rupa rupanya bulat je matahari naik. Mujur tak pergi ke tempat lain.

Meh lah tengok gambar dari jurugambar amatur ni. Nak gambar meletop kena datang sendiri.










Gambar di bawah dari lokasi yang sama tapi berlainan arah.


    



Kalau nak naik kuda seorang satu kena bayar USD100 dari 5.30 - 7.30 pagi. 



Tempat lain yang orang kata best juga untuk melihat sunrise and sunset ialah:

1) Ta Wet Hpaya
2) Thitsarwadi Temple (Dapat lihat belon panas dengan dekat)
3) Shwesandaw Pagoda
4) Law Ka Ou Shaung (Sunrise yang memukau)
5) Pyathetgyi Pagoda (lokasi popular untuk melihat sunset)
6) Aureum Viewing Tower di Aureum Palace Hotel & Resort. Non guest kena bayar usd5.


Aku ada mention kan kita kena bayar 25,000 kyat untuk berada di Bagan? Haaa... pepagi ni pun ada yang check. Kalau nak tahu bagaimana ke Bagan menggunakan public transport boleh baca di sini.

Bagan menarik, siapkan duit je.














Artikel Terbaru

Google+ Followers

Followers

Ping Blog

Blogged.my

Blogged.my

blogr.my

Auto Ping

Ping your blog, website, or RSS feed for Free