2 hari 1 malam di Melaka | Bandar bersejarah UNESCO yang tidak menjemukan



2 hari 1 malam di Melaka | Bandar bersejarah UNESCO yang tidak menjemukan | Pada 1867 Melaka yang dibentuk sebagai Negeri-negeri Selat bersama Pulau Pinang dan Singapura telah dijadikan Koloni Mahkota British dengan London menjadi pusat pentadbirannya.


Pernah masyhur sebagai antara kota perdagangan yang terpenting di Asia Tenggara sejak pemerintahan kesultanan Melaka lagi sehingga menarik kedatangan pedagang dari pelbagai negara untuk berurus niaga sehinggalah ditawan Portugis dek kerana kepentingannya. Dari Portugis kemudian ia ditakluk Belanda seterusnya Inggeris (ditukar dengan wilayah di Indonesia). Selepas 446 tahun dijajah Melaka semakin pudar kemegahannya sebagai negeri dagang tetapi ia aset berharga sektor pelancongan dan kebudayaan Malaysia.

River cruising in Sungai Melaka. 


Melaka Yang Indah Bersejarah
Tahun ini Melaka Bandaraya Bersejarah menyambut ulangtahun penyenaraiannya ke dalam UNESCO World Heritage City yang kesembilan tahun bersama-sama George Town, Pulau Pinang. Percantuman pengaruh asia, eropah dan tempatan menjadikannya unik serta tidak menjemukan untuk dilawati. Pelancong yang ke Melaka pasti akan ke pusat bandarayanya untuk melihat bangunan berwarna merah bersejarah, rumah-rumah ibadat yang ratusan tahun umurnya dibina berdekatan tanpa konflik agama, bekas kubu dan kota lama dan menyusuri Sungai Melaka yang dikatakan terbersih di Asia Tenggara ketika ini.

Melaka seakan-akan Hoi An, cuma lebih banyak bangunan bersejarah yang letaknya berdekatan antara satu sama lain selain pelbagai bangsa dan keturunan yang hidup harmoni. Ia menjadi contoh nyata kepelbagaian warisan senibina dan budaya. Melaka juga lebih bersih dan mesra tetamu.

UNESCO percaya warisan mempertahankan legasi sebab itulah mereka telah mewartakan beberapa kawasan yang unik dan bersejarah supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Budaya dan warisan asal adalah sumber kehidupan dan inspirasi yang tidak boleh ditukar ganti.


Membawa Anak-Anak Melalui Laluan Bersejarah (Heritage Trail)
Yeah, I'm a bit boring. Kurang gemar ke theme park tetapi lebih suka membawa keluarga mengenali dan menikmati alam semulajadi negara sendiri. Setelah berpeluang berjalan-jalan ke banyak tempat kerana tugas dan membaca berita kemusnahan alam di media massa, aku rasa adalah sangat patut anak-anak ditunjukkan keindahan alam ini sebelum ianya musnah akibat kerakusan manusia.

Anak remajaku selalu kena bebel dalam kereta, off handphone tu...tengok kiri kanan jalan. Tak lama lagi lenyaplah hutan tu. Sungguh. Kalau anda memandu dari tol Seremban menuju ke Sendayan, kiri kanan jalan dah terang-benderang. Dah kurang pengeluaran oksigen demi membangunkan rumah mampu tengok bagi sebahagian besar penduduk asal.

Kembali ke Melaka.

Pada hari pertama di Melaka kami menghabiskan beberapa jam di Zoo Melaka. Dah baca ke belum di sini? Ya Rabbi...pukul 4 baru keluar dari situ. Jenuh melayan bebudak 😄. Selepas checked-in di Ibis Melaka kami keluar makan dan berjalan di Jonker Street. Tak ada apa apa yang menarik pun sebab kedai pun dah tutup. Kawasan tu malamnya meriah di hujung minggu je. Dapat jugalah bawa the boys solat Maghrib di Masjid Kampung Kling. Kebetulan malam Jumaat, ramailah jemaah.

Keesokannya kami berjalan kaki dari hotel menuju ke lokasi pertama di Banda Hilir, Bukit St Paul yang pernah menjadi kubu Belanda. Kali pertama ke sini semasa mengikuti rombongan sekolah ketika tingkatan tiga dahulu. Bapak lama dah 😃. Kali kedua naik sekerat jalan je sebab sarat mengandung tujuh bulan. Hmm...ada hati juga nak naik. Yang ini kali ketigalah kot.

Di atas bukit ini ada tinggalan Gereja St Paul yang telah dibina oleh seorang Kapten Portugis bernama Duarte Coelho pada tahun 1521, dan menjadikan ia bangunan gereja tertua di Malaysia dan Asia Tenggara. Asalnya hanyalah sebuah chapel yang diberi nama Nossa Senhorado Monte tetapi sering menjadi persinggahan Paderi Francis Xavier malah beliau pernah dikuburkan di sini selama sembilan bulan sebelum mayatnya dipindahkan ke Goa, India (beliau meninggal dunia di Macau). Gereja ini bertukar nama ke Gerej St Paul dan berubah mazhab apabila Belanda menakluki Melaka pada 1641.


Sebenarnya nak ambil gambar beca tu hehee..


Pintu antik

Menuju ke Bukit St Paul.

Bila pihak Inggeris menjajah ia dijadikan gudang simpanan senjata api untuk menyerang Jawa.  Batu-batu peringatan besar di dinding asal letaknya di lantai. 

Bukit St. Paul kini merupakan sebahagian daripada Kompleks Muzium Melaka yang terdiri daripada runtuhan kota A'Famosa, bangunan Stadthuys (bunyinya Stedhouse) dan beberapa bangunan bersejarah yang lain.

Dari atas bukit ini kita dapat melihat sebahagian besar Banda Hilir. Hatten Hotel tu dah termasuk kawasan yang ditambak untuk memperbesarkan bandar ini.

Bahagian dalam tinggalan Gereja st Paul.

Dari situ kami turun melihat kubur Belanda. Daripada plat yang dilekatkan ada beberapa kubur yang mengandungi beberapa jenazah. Ada satu kubur tu jenazahnya muda muda belaka. Mungkin kanak-kanak tersebut dilahirkan dengan masalah kesihatan atau ada wabak penyakit pada waktu itu.
 
Kubur Belanda

Kami turun lagi ambil gambar di runtuhan Kota A Famosa. Bangga orang eropah datang ke negara bekas jajahan mereka agaknya. Sibuk nau kata orang Islam pengganas walhal merekalah yang dok menjahanamkan negara orang dulu, kini dan mungkin selamanya.

Runtuhan kota A Famosa

Seterusnya kami ke Memorial Kemerdekaan Melaka. Penat mulut 'cikgu' ni menyampaikan apa yang tertulis di situ kepada GBS.




Tak sempat ke Muzium Samudera, kami terus makan tengahari sebab sejam lagi dah nak check-out. Menara Taming Sari pun kami tak naik sebab yang bongsu saja belum merasa lagi. Lain kalilah.

Sebenarnya Melaka ada BANYAK lagi tempat bersejarah dan tempat menarik yang boleh dilawati seperti perigi Hang Tuah, Kampung Portugis, Kampung Morten, Masjid Selat dan sebagainya. Percutian 2 hari 1 malam di bandaraya ini memang tak cukup. Plan for more.













Post a Comment

0 Comments