A mother, traveller and photographer.

ruggedmom.com

ruggedmom.com

Tips kenduri kahwin

Musim cuti akan kembali lagi !!!!

Yang menyunat, yang kena sunat, yang nak kahwin semua nak dibuat dalam masa cuti dua minggu ni. Kata someone, orang Melayu ni asal cuti je nak kenduri sampai kita nak berjalan pun payah. Betul jugak tu kan? tapi wedding photographer suka time cuti nih. Ada betulnya apa yang dia cakap tu..... aku tengok mak mertua aku tu macam berat hati je nak tinggalkan kami kat rumah time gi kenduri, beriya-iya diajaknya kami join sama. Ye lah, sesekali balik kampung kalau boleh dia nak berkelek dengan anak cucu je sepanjang masa. Dia tak leh mengelat sebab dok kat kampung, nanti kenduri kat rumah sendiri orang tak mai pulak. Kalau kenduri rumah sedara tu kami ikutkan jugak, kalau selain dari tu ...... balik aku baring je meluruskan pinggang. Letih woooo naik keto...bukannya naik Alphard. Tapi kalau naik Alpahard aku takmo duduk depan, nak baring kat belakang heheheheh...

Gambar antik- my daughter second from left
Akulah yang pi mencari bunga melur tu sampaikan mak mertuaku tanya kat mana hang dapat bunga ni? hahahh.... dia dok Baling pun tak tau kat mana nak cari. Bunga ni kalau sikit wangi, bila banyak umangaiiii... bedonyut kepalo den.

Time kenduri kahwin selalunya cik kiahlah yang paling sibuk menolong di dapur, buat hantaran dan komen! Kenapa tak buat colour tu, kenapa tak tempah kat orang ni, kenapa tak bersanding, baju tak cantik la, mekap pucat la... bla...bla... komplen banyak-banyak kok bagi duit takpo jugak. Dia nak mekap macam zaman dia dulu kot? Tapi....... orang mulut bising ni la yang selalu memeriahkan acara cuma kalau over sangat tu selalunya pengantin perempuan mengetap gigi jek hahahahha..... mak dia akan pesan, diam je lah toksah layan. Spoil the mood.

Kekadang ada jugak sedara-mara keluarga pengantin yang terlebih suda..., tetangga yang bertungkus lumus menjayakan majlis nak menjenguk bilik pengantin pun tak bagi, nak sorok sangat akhirnya takde sesapa pun menjenguk sampai watammat majlis walhal mak pengantin beriya-iya beli kelengkapan cantik dan mahal dengan alasan, kalau beli yang biasa orang tengok tak molek pulak, lagipun bukan selalu. Hadap le sesama sendiri.... kesian mak pengantin. Orang yang nak tengok tu bukan semestinya dia nak komen, mungkin mencari inspirasi untuk majlis anak mereka pulak nanti. Nak tengok the hottest design in town kekdahnya. Alaaa.....dah jadi kebiasaan cik kiah membuat lawatan ke bilik pengantin ye dok? Asalkan tak bertunggu tangga dalam bilik tu sudah.

Sebelum adik-adik nak kahwin kumpullah duit sendiri ye. Bukan apa, kalau mak ayah jenis berduit dan sporting takpelah boleh mintak apa saja. Kalau mak ayah mempunyai bajet yang kecik sudah pasti dia akan dulukan bab makan kemudian barulah yang lain-lain. Kalau u nak baju macam Lisa Surihani kena ada bajet besar macam dialah. Kalau nak Nurul Syukor mekapkan siapkanlah 2 ribu hengget per session. Pada pendapat akaklah kan, tak bersanding takpe sebab itu cuma adat tapi pengantin mesti vogue dik! Persalinan murah/sederhana tak apa kalau dah itu saja yang kita mampu tapi janganlah bagi pengantin payung cap Jukebox, gila tol! Panas hati pengantin tu. Takde ke payung lain? Yang plain pun takpe.

Bila selalu shoot pengantin ada jugaklah beberapa pengalaman yang boleh dijadikan panduan. Antaranya:

Mas kahwin. Lain negeri lain jumlahnya, ada jugak yang membezakan nilai mas kahwin untuk anak dara dan janda. Ada juga yang meletak nilai berdasarkan keakraban seseorang kerabat tu dengan sultan. Kalau bau-bau cheese cake tinggi mas kahwinnya, bau-bau bacang sederhana, kalau bau-bau stokin kuranglah lagi. Samo yo bondo ea.... bak kata sorang mamat tu hahhhahaha.....ko paham tak?

Di Negeri Sembilan jugak ada duit adat yang perlu ditanggung oleh pihak lelaki tapi aku sangat sokong sesetengah imam/tukang nikah di sesetengah tempat yang yang tidak mahu perkara tersebut diberatkan. Kesian pengantin lelaki weh. Walaupun tak banyak, pada aku hal tu tak perlu lebih-lebih lagi bukan ketua adat yang mencarikan jodoh, apalagi sekiranya majlis tu sekadar menjemput ketua adat seperti menjemput tetamu lain. Ndak ndak lagi kat kawasan yang tak beradat sangat seperti felda dan bandar. Ramai yang kahwin dengan orang luar kawasan. Anak aku sok aku tak mintaklah. Okay, bakal menantu aku dah save duit kat situ.

Duit belanja hangus. Kenapa dipanggil sebegitu? Ko dah bagi duit kat parents si perempuan hilanglah duit tu, tak akan nampak lagi. Rate biasa sekarang ni dalam 8-10 ribu. Ada jugak yang berbelas ribu. Banyak ke? elehhhh.... mak pak dia dah bagi makan, sekolahkan sampai universiti, boleh masak lagi (tak pandai masak boleh belajar kat internet)... nak bagi seploh ribu pun berkira. Pi buat overtime bang, overtime.........
Ye la, rumah pengantin je kat kampung tapi kerja kat Kolumpor atau luar negara.... dan yang nak kahwin tu pun sesetengahnya hebat jugak jawatannya. Terpulang kepada kemampuan masing-masing .....jangan paksa diri ikut artis. Deme tu sejam nyanyi dapat ribu riban, kebanyakkan daripada kita sebulan sekali baru dapat ribu.

Ada sebahagian perempuan sekali tu je lah merasa duit dari suami dia.. entah entah duit pak mertua dia huhu..... TAPI kalau pihak perempuan tak mahu duit belanja hangus tu adalah lebih baik. Ada seorang kawan aku ni ayah dia dulu tak diminta membayar so kat suami dia pun mak pak dia tak mintak. Elok je bahagia murah rezekinya. Itupun kalau mak ayah kita mampulah nak tanggung kesemuanya.

Hantaran. Hantaran orang sekarang wuiiiii...... kat kampung pun dasat. Rasanya tak perlulah bagi sampai berbelas atau berpuluh sebab kita perlu mengeluarkan kos untuk bekasnya jugak samada dibeli atau disewa, masalah logistik lagi. Pihak lelaki kadangkala datang dengan empat buah kereta je, dalam kereta tu pulak termasuk budak kecik, dengan perjalanan yang jauh lagi ....... camana la nak bawak pulang hantaran yang banyak tu....... aku ni bercakap berdasarkan pemerhatianlah ni.

Kenkadang nilai hiasan dan bekas hantaran tu lebih mahal daripada hantaran itu sendiri. Bukanlah nak kena bagi Canon dslr atau ipad atau blekberi tapi sumijelly rasanya kurang sesuai.

Bakal menantu aku sok aku minta sedulang aje dah le ...kesian dia datang ramai-ramai nak bawak hantaran lagi .... boh le segala kunci kereta, kunci rumah, kunci grill, kunci  safe deposit box atas dulang yang satu ittewww... hehehhe...

Kendurinya di mana? Kalau nak buat kat dewan kena booking at least enam bulan lebih awal, setahun pun ada. Kat Seremban ni setahu aku dewan yang molek kat MPS, Kompleks Sukan Paroi dan kat kelab Seremban 3. Di sesetengah kawasan perumahan/taman pun ada disediakan dewan. Booking cecepat, bila tiba cuti sekolah barulah kita tahu ramaiiiiinya anak dara/bujang kat taman kita tu.

Kalau nak buat kat rumah pun boleh. Ada seorang VIP tu pelamin anaknya kat dalam rumah saja tapi majlis itu smoothly run by emcee yang berpengalaman. Tetamu vvip pun makan bawah khemah saja dihiburkan dengan persembahan tarian kanak-kanak dan alunan biola. Rumah dia memang besarlah with a big compound as well. Kalau nak dikirakan dengan tarafnya majlis itu boleh dikirakan majlis yang sederhana sahaja.

Kalau buat kat taman perumahan, beritahu jiran yang berkaitan dan silalah bersihkan kawasan tersebut selepas itu, jangan buat bodo je sebab kita berkongsi kawasan dengan orang lain. Dahlah jiran kita tidak merungut khemah kita menggunakan laluan mereka dua tiga hari tu, mereka jugak kadang-kala lebih bersusah-payah daripada tuan rumah. Thank them. Mereka bukan nak hadiah yang dibeli masa hornymoon pun.......... buat cekodok dengan teh o panas pun orang suka. Panggil je makan reramai tanda terima kasih. Jangan bila majlis dah selamat menegur pun tidak. Kita pasti akan ada majlis lain selepas itu, kenduri kahwin anak yang lain, kenduri nak gi Mekah, kenduri bertunang, kenduri mati, kenduri kahwin lain oppssss.....selepas bini sekarang matilah. Belum tentu kita sentiasa mampu ber'catering'.

Pelamin. Yang kengkawan rekemen pun boleh. If possible mintak dia drafkan and keep the copy atau save no yang ada dalam sample gambar. Tengok-tengoklah kot kot kerusinya kotor mintak dia lap/cat semula. Ada juga pengusaha andaman yang mengecat semula pelaminnya (pelamin kotak tu) setiap kali mendapat tempahan. Kita yang menggunakannya pun macam dapat barang baru. Ada pulak yang letak mini chandelier yang dah tinggal satu je lampunya adehhhh....

Catering. Bila kita gi kenduri rumah orang dan makanannya sedap ler pulok simpan no caterer tu. Kekadang tuan rumah hire tukang masak freelance yang berpengalaman dan meletops air tangannya.

Warna tema. Seeloknya pakaian pengantin tidak sama warna dengan ahli keluarga barulah stands out.

Bab dj. Kalau akulah kan, kalau ada orang nak sponsor dj aku alu-alukan tapi aku nak tahu siapa dia. Lebih baik orang yang sponsor tu bagi duit, aku pilih dj sendiri. Aku ada berkenan kat beberapa dj yang beretika dan tahu protokol walaupun dalam majlis biasa di kampung.

Ada tu yang dok promote anak dia menang satu pertandingan nyanyian sepanjang majlis, oooalahaiiii... Ada pulak yang tak reti nak berhentikan lagu time solat. Speaker pulak dengan volume paling kuat terlalu hampir dengan khemah tetamu. Nak berbual dengan orang sebelah pun tak boleh. Pada akulah lebih molek rasanya kalau bunyian dari speaker sederhana saja, asalkan orang tahu itu majlis perkahwinan bukan majlis orang mati. Melainkan majlis tu kat dewan besar yang sistem bunyiannya kat pentas nun.

Kenduri kahwin ni biasanya menjadi medan pertemuan saudara jauh dan dekat. Kalau bunyi speaker dah kuek bona nak bercakap pun macam kojo kek kilang papan, kono menjorit! Adik aku kahwin hari tu pun gini jugak, pangkah lah dj tu lepas ni. Aku dah bilang tak mau karaoke, mau lagu nasyid kontemporari, sentap pulak dia kat aku ...eh mak aku dah suruh aku in-charge kan? sekejap je dia pasang lagu nasyid tu, takde stok kot tapi dah bagi tau awal-awal... dipasangnya lagu entah bila punya zaman. Apo nak buek, abah den punyo bajet heheheh... Kalau lagu sedap macam tarakucha tarakucha cha cha takpe la jugak...... Cer pasang lagu nuar jen ke yuna ke silla majed ker hoojan ker...... ahkak tak marahlah takde lagu nasyid tu.

Cenderahati perkahwinan. Maaflah, aku tak faham untuk apa set sudu garfu yang kecik tu? unless it s real silver....... Lebih baik bagi sesuatu yang berguna dan praktikal. Rasanya hadiah tu biarlah yang boleh dimakan/digunakan/sayang untuk dibuang. Takpun bagi telur ayam rebus je...kita pun boleh mintak bebanyak boleh buat sambal telur untuk makan malam nanti hehehheh... siang hari dah makan sedap kan kat kenduri.

Pakaian pengantin. Tolonglah jangan percaya bulat-bulat baju dah ada...tengah jahit manik...baju kat tailor... ada sorang pengantin aku ginilah janjinya, seminggu sebelum kahwin dia gi lah nengok setelah beberapa kali follow-up dengan telefon, baju takde !!! anak tuan kedai yang bersuara manja ittew memang pandai berjanji, aku pun pernah terkena gak bab lain. Apalagi menangis merataplah bakal ratu sehari. Kononnya booking yang dekat senang si tukang andam nak berulang ke kedai in case ada tertinggal barang akhirnya pi sewa kat KL jugak. Yang sorang lagi pulak tempah baju lain bila time kenduri baju lain yang sampai, nak buat camana lagik pakai je lah walaupun hati bengkek jek. Dahlah badan dia bukan saiz standard, kesian kat dia...haiyooo.... kalau hati dah bengkak terpancar kat muka.

Pergi fitting bila mak andam panggil sebab berat badan mungkin berubah, saiz badan pun mungkin tersalah ukur. Kindly ensure baju yang u tempah dan yang dah siap depan mata adalah sama. Kalau mak andam benarkan, bawa baju tu balik. If u bayar lebih untuk baju baru pastikan baju tersebut memang baru sebab u bayar extra.

Kalau mak andam izinkan u bayar baki ansur-ansur like bayar baki selepas majlis selesai ko jangan ansur-ansur lari pulak, nanti jadi macam kenalan aku si mak andam ittew... selepas naik bosan mengutip hutang sampai setahun ditempeknya muka pengantin dengan segala details kat wall mukabukunya. Haru!

Kasut. Saiz kasut pengantin dengan yang biasa kita pakai mungkin tak sama.

Gambar kahwin - Lelaki kekadang tak berapa kisah bab ni suruh keluar duit pun payah tapi bila dah siap eh hensem jugak i dalam gambar ni..  Reserve duit untuk yang ini dik, kalau bapak yang punya bajet mungkin dia akan kata adik ko kan baru beli kamera minggu lepas? Adik ko mungkin tengah memahamkan buku manual lagik. Majlis kahwin kita bukan time untuk test gadjet baru.

Kita kahwin sekali je dik, laki kita mungkin empat kali. Baju kahwin dipakai sekali, gambar kahwin nak ditatap sampai mati.

Jangan terus percaya percakapan negatif. Dalam industri perkahwinan yang sengit persaingannya ni ada sesetengah orang yang bermulut puaka dengan memfitnah atau memburukkan pengamal industri yang lain so berhati-hatilah. Jangan terus percaya cakap dia, mungkin dia dengki atau sakit hati atau ada dendam kesumat.

Bomoh hujan/bomoh lalat. Asalkan dia tak melakukan perkara syirik, cubalah.

Aturcara. Berbincang dengan keluarga mengenai aturcara, biar majlis kita sempurna di mata tetamu. Nak dapat 100% sempurna tu mungkin susah sikit terutamanya jika majlis tu semua kita buat sendiri tetapi kita boleh meminimumkan kesilapan. Kadangkala ramai yang 'pandai' time kenduri ni, kita dah set bersanding pukul 12 tengahari dia memandai-mandai bagi tau photographer acara bersanding tu pukul 2 petang, nasib baik dibuat confirmation semula. Sapo nak menunggu sampai pukul 2 petang zaman ni.... banyak kenduri lain tetamu nak attend.

Ada pulak tu bila nampak pengantin lelaki sampai je dah kepoh suruh pengantin perempuan keluar walhal kompang belum berbunyi lagi. Pengantin lelaki baru nak mengganti baju dan touch-up muka dia. Tak molek orang tengok macam dah tak sabar sangat.

Itu je buat masa ini kalau ada lagi aku tambah lenkali. 

Belanja kenduri biar berpada, kena ingat jugak lepas kahwin nak dok mana? Haa...sewa rumah akak?Rumah akak perlukan dua bulan deposit dik plus plus hahahahah..!!.




0 Komentar untuk "Tips kenduri kahwin"
Back To Top

Live Scores

Live Scores Website